Anda di sini

Jemaah haji perlu jaga kesihatan dan patuhi arahan Tabung Haji

Advertisement

LAHAD DATU: Kerajaan akan terus komited dengan menyalurkan subsidi meringankan kos mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci, kata Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal

Katanya, bantuan lain dengan menaja jemaah berkelayakan dan permohonan penambahan kuota jemaah haji setiap tahun juga antara usaha berterusan kerajaan demi menjaga kebajikan rakyat beragama Islam seterusnya memperkasakan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

“Bantuan-bantuan berkenaan sudah lama kerajaan laksanakan dan jemaah haji perlu memanfaatkannya sebagai peluang yang paling berharga dengan mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima ini dengan sempurna,” katanya.

Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Jemaah Haji Daerah Lahad Datu 2016 di Dewan Masjid Al-Kauthar dekat sini, kelmarin.

Yusof berkata, jemaah haji perlu mengutamakan kesihatan dan segera mendapatkan perkhidmatan hospital jika memerlukan rawatan.

Selain itu, jemaah haji perlu menjaga nama baik negara dengan sentiasa prihatin dengan semua arahan Tabung Haji.

“Apabila berada di sana, selain mengerjakan Rukun Haji dan Wajib Haji, jemaah penuhilah setiap ruang dan masa dengan aktiviti beribadat dengan berdoa, berzikir, membaca al-Quran.

“Setiap arahan kerajaan melalui Tabung Haji (TH) perlulah dipatuhi terutama jadual dan masa yang tepat mengerjakan Wajib Haji, Rukun Haji dan termasuklah juga Sunah Haji.

“Dengan mematuhi semua arahan itu, akan menjaga nama baik negara dan pengurusan Tabung Haji dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kerajaan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus TH Daerah Lahad Datu Mohd Readzuan Ramlan ketika berucap berkata, Tabung Haji yang telah mendapat pengiktirafan sebagai pengurusan terbaik haji di dunia akan meneruskan usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara ini.

“Pada tahun ini juga TH meneruskan tanggungan kos haji bagi setiap jemaah Haji Muassasah yang pergi pertama kali yang membolehkan bayaran haji kekal pada RM9,980 bagi seorang jemaah walaupun kos terus meningkat,” katanya.

Pada majlis itu, Yusof turut menyampaikan sumbangan kepada 46 orang jemaah yang diraikan.

Turut hadir ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Lahad Datu Ir Rajesh, Setiausaha UMNO Bahagian Silam Sari Arshad dan Ketua Daerah OKK Ismail Atoh.

Advertisement