Anda di sini

Harga barangan terus dipantau walau di luar musim perayaan: Henry

Advertisement
 Henry (tiga kiri) melawat jualan ayam segar MyFarm Outlet Kasih di presint 7, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

LAWATAN: Henry (tiga kiri) melawat jualan ayam segar MyFarm Outlet Kasih di presint 7, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kawalan, pemantauan dan pemeriksaan ke atas harga barangan keperluan serta penguatkuasaan undang-undang tetap dilaksanakan walaupun di luar musim perayaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata ia bagi memastikan harga barangan sentiasa stabil dan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya biarpun tempoh penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan telah berlalu.

“Dalam memastikan harga barang berada pada paras yang ditetapkan, pemeriksaan ke lokasi-lokasi jualan barangan keperluan yang menjadi tumpuan orang ramai, sama ada oleh menteri, timbalan menteri bersama pegawai penguat kuasa kementerian tetap dan akan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa.

“Bagi memastikan pemantauan lebih efisien, kementerian juga menggunakan khidmat pegawai kontrak atau ‘Friend of KPDNKK’ untuk melakukan pemantauan ke atas harga barangan selain pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sewaktu membuat lawatan pemeriksaan di Pasar Awam Presint 8 dan MyFarm Outlet di sini semalam.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri membabitkan 21 jenis barangan, antaranya ayam, telur ayam dan daging telah berakhir pada 6 Julai lepas, selepas dikuatkuasakan selama 21 hari bermula dari 16 Jun.

Dalam pada itu, Henry berkata sebanyak 22,402 premis perniagaan penjualan ayam pedaging meliputi kedai runcit, ladang dan pasar borong telah diperiksa dalam tempoh 14 Julai hingga 16 Ogos lepas membabitkan nilai rampasan serta kompaun berjumlah RM4,446.

Daripada jumlah itu, 31 pemeriksaan adalah hasil daripada aduan pengguna iaitu 29 bagi premis runcit dan dua borong, katanya.

Henry berkata sebanyak 118 notis mengikut Seksyen Bernama21(5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 juga turut dikeluarkan, manakala tujuh kes telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Beliau juga menyeru pengguna supaya menyalurkan aduan ke talian bebas tol KPDNKK 1-800-886-800 atau e-mel ke [email protected] sekiranya mendapati ada peniaga yang menjual barangan melebihi harga maksimum serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual. — Bernama

Advertisement