Anda di sini

Golongan muda disaran libat diri dalam aktiviti SABATA

Advertisement

KOTA KINABALU: Golongan muda di negeri ini disaran untuk melibatkan diri aktiviti Persatuan Anti Batuk Kering Sabah (SABATA) bagi memajukan lagi persatuan itu.

Presiden Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kinsabina Sdn Bhd Datuk Francis Goh berkata majoriti ahli SABATA kini terdiri dalam golongan yang sudah lanjut usia.

“Sudah tiba masanya anak muda tampil membantu SABATA memajukan persatuan ini yang kelihatan memerlukan tenaga muda dalam membantu golongan sasar.

“Kita bukan mahu mereka sepenuh masa terlibat dalam sebarang aktiviti sukarelawan ini tetapi jadikan ia sebagai hobi khususnya dalam membantu dan memberi sokongan kepada para pesakit tibi (tuberkulosis),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rumah Rehat dari Kinsabina kepada Sabata, di sini kelmarin.

Mengulas majlis berkenaan, Francis berkata ia adalah projek kedua hasil lanjutan projek yang sama di Tuaran dengan usaha sama Kinsabina bersama Shareda.

Katanya empat unit bilik rehat dibina bagi menggantikan serta menaik taraf penempatan rumah rehat SABATA yang semakin usang.

“Kita mengumpul dana bagi menaik taraf bangunan SABATA dalam membantu para pesakit tibi untuk pesakit ini dapat meluangkan masa bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (KPMHEP) Janet Chee ketika berucap mewakili Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata konsep mesra alam yang diperkenalkan itu perlu dicontohi oleh pemaju lain.

Justeru, beliau berharap agar pembinaan rumah rehat itu dapat meringankan beban kepada pesakit tibi serta ahli keluarga yang datang dari jauh untuk mendapatkan pemeriksaan pakar di hospital.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Anti Batuk Kering Sabah (Sabata) Henry Mogindol, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Kinsabina Gerald Goh Naib Presiden Sabata Datuk KJ Joseph dan Setiausaha Eksekutif Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) Joanne Lee.

Advertisement