Anda di sini

Ranau mohon tambahan kerusi kerana pengundi ramai dan kawasan terlalu luas

Advertisement

RANAU: Jawatankuasa Penyelaras Bahagian Barisan Nasional (BN) P179 Ranau yang bermesyuarat baru-baru ini sebulat suara memohon supaya salah satu daripada 13 kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah diluluskan kabinet diberikan kepada kawasan Ranau.

Ketika mempengerusikan mesyuarat itu, Pengerusi BN Ranau Datuk Dr Ewon Ebin berkata kawasan Ranau layak mendapat tambahan satu kerusi itu memandangkan jumlah pengundinya yang ramai serta kawasan yang terlalu luas untuk diliputi.

Menurut beliau pada pilihan raya umum lalu, jumlah pengundi di tiga DUN Ranau ialah 39,432 iaitu sebanyak 13,434 pengundi di N29 Kundasang, 12,489 di N30 Karanaan dan 13,509 di N31 Paginatan.

“Jumlah itu kini sudah bertambah setelah ada pengundi baharu yang berdaftar dan ia dijangka sudah melebih 40 ribu, sesuai untuk mewujudkan empat kawasan DUN di Ranau.

“Selain itu, geografi daerah Ranau yang bergunung-ganang serta rangkaian jalan rayanya yang masih tidak memuaskan menjadikan Ranau sangat sesuai diberikan tambahan satu kerusi DUN bagi membolehkan rakyatnya dihubungi dengan lebih kerap,” katanya.

Mesyuarat itu telah dihadiri oleh kesemua perwakilan komponen BN Ranau termasuklah Datuk Dr Othman Minudin (Ketua PBS Paginatan), Setiausaha Politik Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Datuk Amisah Yassin yang mewakili UMNO dan Timbalan Ketua PBS Kundasang Japly Samy mewakili Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Turut hadir dan memberikan sokongan kepada permohonan itu ialah James Ingguru (Setiausaha Politik kepada Datuk Siringan Gubat), Tham Yin Enn (Ketua Bahagian MCA Ranau) dan Arimin Moidi (Ketua Bahagian PBRS Ranau).

Sehubungan dengan perkara itu, ahli mesyuarat telah melantik Othman sebagai pengerusi jawatankuasa perhubungan dalam mengurus permohonan itu dengan dibantu Ketua Pemuda UPKO  Nasional Arthur Sen.

Perkara lain yang turut dibincang pada mesyuarat itu termasuklah mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin antara semua ahli komponen BN Ranau di samping terus mendekati masyarakat akar umbi terutamanya golongan belia dan wanita.

Sementara itu, mesyuarat bahagian UPKO Ranau sebelum itu yang turut dipengerusikan Ewon mengusulkan supaya kedua-dua wakil UPKO yang ada sekarang iaitu beliau sendiri (Parlimen) dan Siringan (Paginatan) dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli mesyuarat juga bersetuju untuk mengadakan Konvensyen UPKO Ranau pada 17 September 2016.

Menurut Setiausaha UPKO Bahagian Dallius Ubin, antara agenda dalam konvensyen berkenaan adalah untuk memanggil semua peserta dari kesemua cawangan UPKO Ranau, dalam usaha menjadikan mereka lebih proaktif bagi mengukuhkan kekuatan parti di peringkat kampung dan cawangan.

Advertisement