Anda di sini

Pendaki Britain terseliuh diselamatkan pasukan MOSAR

Advertisement

 Anggota MOSAR dan pegawai TTS bersedia membawa turun mangsa ke Laban Rata.

TERSELIUH: Anggota MOSAR dan pegawai TTS bersedia membawa turun mangsa ke Laban Rata.

RANAU: Seorang pendaki wanita warganegara Britain yang terseliuh di bahagian kaki semasa dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Kinabalu diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) Rabu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Jimmy Lagung berkata, anggota MOSAR yang bergegas ke lokasi kejadian menjumpai mangsa dalam keadaan menangis di kilometer 7.2.

“Mangsa dikenali sebagai Gillian Jane, 37, terseliuh pada bahagian buku lali sebelah kiri selepas turun dari gunung di kilometer 7.2 iaitu 50 meter dari kawasan Sayat-Sayat,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, anggota MOSAR bersama seorang Pegawai Taman-Taman Sabah (TTS) segera memberi rawatan awal kepada mangsa serta membalut bahagian kaki mangsa yang cedera di lokasi kejadian kira-kira jam 7.50 pagi.

“Pasukan MOSAR kemudian membawa turun mangsa ke Laban Rata menggunakan pengusung dan membuat ‘Human Anchor’.

“Kita turut menurunkan mangsa menggunakan tali berukuran 12 milimeter (mm) yang dipinjam daripada Agensi Mountain Torq di kawasan Red Zone yang curam.

“Mangsa yang memperoleh khidmat helikopter Sabah Air dibantu pasukan MOSAR dan dua pegawai TTS dibawa turun ke Laban Rata sebelum ketibaan helikopter jam 10.15 pagi kelmarin,” katanya, sambil menambah operasi keseluruhan tamat jam 10.30 pagi kemudian.

Jimmy berkata, mangsa adalah salah seorang daripada kumpulan pendaki AM16 yang mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa lalu sebelum mangsa terpisah daripada kumpulan terbabit semasa dalam perjalanan turun dari puncak gunung keesokan harinya.

“Mangsa yang terpisah daripada kumpulannya dipercayai tergelincir semasa berjalan bersendirian sebelum ditemui tiga malim gunung sebelum melaporkan kejadian kepada pihak MOSAR yang berjaga di ‘check point’ Sayat-Sayat,” katanya.

Advertisement