Anda di sini

Ke arah masyarakat tanpa tunai

Advertisement

 Abdul Farid (kiri) dan Azmir Jaafar menunjukkan cara menggunakan kad kredit, kad debit dan MaybankPay.

TANPA TUNAI: Abdul Farid (kiri) dan Azmir Jaafar menunjukkan cara menggunakan kad kredit, kad debit dan MaybankPay.

KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Maybank yang merupakan perkhidmatan bank terbesar di Malaysia dengan menawarkan pilihan pembayaran tanpa tunai di restoran seluruh negara seiring dengan visi Bank Negara Malaysia (BNM) ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai mulai tahun 2020.

Pelanggan kini boleh membayar untuk hidangan kegemaran mereka di lebih 140 restoran McDonald’s seluruh negara dengan menggunakan kad kredit, kad debit atau MaybankPay.

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata: “Di McDonald’s, kami komited untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan bukan sahaja dengan menawarkan perkhidmatan dan hidangan terbaik, malah menyediakan kemudahan yang terkini untuk kepuasan pelanggan.

“Pada masa sama, kami menganggap McDonald’s sebagai salah satu pemain utama dalam menyokong inisiatif nasional sebegini demi meningkatkan kemajuan negara. Faedah pembayaran tanpa tunai cukup jelas; ia sememangnya mudah dan membantu menjimatkan masa pelanggan semasa proses pembayaran hanya dengan mengimbas kad bank sahaja.

“Dengan mengaplikasikan sistem pembayaran tanpa tunai di restoran McDonald’s seluruh negara, kami berhasrat untuk memainkan peranan penting ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai di Malaysia. Sesungguhnya, dengan kerjasama Maybank sebagai rakan perbankan rasmi, hal ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha kami untuk mengukuhkan dan mengembangkan operasi kami di Malaysia,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias pula, beliau menyifatkan melalui kerjasama ini, ia dapat mengukuhkan lagi komitmen Maybank untuk menyediakan kemudahan pembayaran kepada para pelanggan di semua lokasi operasinya.

“Malah, ia turut menandakan sokongan kami terhadap agenda kerajaan dalam menggalakkan pembayaran tanpa tunai di Malaysia. Selain itu, inisiatif ini juga bertepatan dengan strategi kami untuk menjadi bank digital pilihan utama di rantau ini.”

“Sebagai pelopor perbankan elektronik dan perniagaan berasaskan kad, kami percaya Maybank berada dalam kedudukan yang cukup baik untuk menawarkan platform digital yang mudah dan selamat kepada McDonald’s untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan menjimatkan masa pembayaran di restoran,” tambah beliau.

Tiada pesanan minimum diperlukan untuk pembayaran menggunakan kad di McDonald’s. Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai, McDonald’s Malaysia turut menawarkan Frozen Coke atau Sundae Cone percuma bagi setiap pembelian minimum sebanyak RM10, dengan pembayaran menggunakan kad.

Sejak tahun 2015, Bank Negara Malaysia telah mengambil langkah pembaharuan yang cukup signifikan dalam industri pembayaran kad sebagai sebahagian daripada visinya untuk mewujudkan masyarakat tanpa tunai di Malaysia mulai tahun 2020. Sehubungan itu, McDonald’s telah memperkenalkan sistem pembayaran elektronik mulai Januari 2016 dan berhasrat untuk melengkapkan kesemua restorannya dengan kemudahan ini sebelum hujung tahun ini.

Advertisement