Anda di sini

Hentikan idea tidak tepat mengenai MA63, gesa PSLS

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Suang Lotud Sabah (PSLS) meminta semua pihak memahami ‘perkara-perkara yang lebih besar’ yang dirujuk oleh Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau ketika mengulas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presidennya Datuk Freddie Sua juga meminta supaya mereka yang memberi idea yang tidak tepat kepada orang ramai untuk kepentingan politik, supaya menghentikannya.

“Apa yang kita semua inginkan adalah bergerak ke hadapan untuk Malaysia yang lebih baik dan untuk memastikan bahawa anak-anak kita dan cucu-cicit kita masih lagi mempunyai sebuah negara seperti Malaysia pada masa akan datang,” katanya mengulas laporan yang mengkritik pemimpin UPKO itu di atas kenyataannya mengenai MA63 pada Sabtu lepas.

Sambil bersetuju dengan Madius, Freddie berkata bahawa apa yang dikatakan oleh menteri itu adalah selain menumpukan pada MA63, terdapat isu-isu lain yang memerlukan perhatian segera.

“Sebagai contoh, di Sabah kita perlu untuk menyelesaikan masalah pendatang  asing tanpa izin serta orang yang dilindungi di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja dan banyak lagi isu yang kerajaan sedang usahakan seperti keselamatan Sabah.

“Kita percaya ‘perkara-perkara yang lebih besar’ yang beliau rujuk adalah dalam menyatupadukan rakyat Sabah untuk datang ke titik persamaan di mana semua rakyat sama-sama bekerja untuk mencapai tahap tertinggi saling menghormati dalam kalangan rakyat di Sabah barulah kita boleh duduk dan bercakap kepada kerajaan pusat dalam satu suara dan tidak seperti yang ada pada hari ini,” katanya.

Freddie berkata bahawa bercakap untuk kepentingan politik tidak lagi boleh diterima dan memerlukan tindakan pada setiap masa.

“Perlu disedari bahawa asas dalam pembinaan negara ini dilakukan dari perbincangan meja bulat yang membawa kepada majlis menandatangani MA63 dan kemudian digunakan dalam pembuatan Perlembagaan Malaysia yang kita telah tegakkan selama lebih 50 tahun sekarang.

“Kembali kepada persetujuan membuat tuntutan tidak lagi relevan dan apa-apa perubahan positif yang perlu dilakukan mesti terhad kepada perlembagaan yang sedia ada dalam Malaysia.

“Dan untuk melakukan ini, setiap kita semua perlu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi pemimpin sedia ada dari Sabah untuk mencapai objektif ini dan bukan mengeluarkan kenyataan provokatif untuk mengelirukan rakyat mengenai keadaan sebenar.

“Harus diingat bahawa di mana kita berada pada hari ini adalah semua hasil kemerdekaan daripada penjaga penjajah. Tanpa mencapainya dan tanpa Malaysia, kita hanya boleh membayangkan bahawa kita boleh menjadi seperti Singapura atau Brunei pada hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Freddie berkata kalaulah bukan kerana Malaysia, Sabah juga boleh menjadi seperti negara-negara yang pada hari ini masih mengalami ketidakseimbangan ekonomi tanpa kerajaan yang betul dan perlu berada di jalanan membantah untuk makanan demi terus hidup pada hari berikutnya.

“Kita mesti menghargai bahawa hari ini apabila kita pergi ke jalan bukan kerana kita tidak mempunyai makanan untuk hari ini tetapi hanya melaksanakan hak demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan negara yang kita cintai.

“Apa yang kita harus lakukan sekarang adalah untuk menyokong segala usaha yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita dan jika mana-mana NGO atau individu mempunyai apa-apa idea yang lebih baik untuk negara ini, masukkanlah dalam perspektif yang betul dan serahkan kepada kerajaan untuk pertimbangan,” katanya.

Malah kata Freddie, cadangan atau idea mengenai MA63 boleh dikemukakan kepada Ketua Menteri atau Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

“Tidak perlu menyalak kerana ia hanya akan menyebabkan kesesakan yang teruk bagi mereka yang ingin untuk bergerak ke hadapan dan mengambil setiap peluang bahawa negara ini boleh membawa peningkatan ekonomi dan menjaga mereka yang kita sayangi serta menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Advertisement