Anda di sini

Kes dokumentasi meningkat sehingga 70 peratus

Advertisement
 Jasmih (duduk, tengah) dan Lee (duduk kiri) bersama pengadu berkenaan kes dokumentasi.

HAK ASASI: Jasmih (duduk, tengah) dan Lee (duduk kiri) bersama pengadu berkenaan kes dokumentasi.

SUHAKAM akan menemui pihak berwajib, bela hak asasi pengadu melalui fakta yang direkodkan

KOTA KINABALU: Kes dokumentasi pengenalan diri di Sabah meningkat sehingga 70 peratus.

Ketua Bahagian Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sabah Jasmih Salamat berkata kes berkenaan meningkat sejak tahun lalu.

“Isu dokumentasi meningkat lebih banyak daripada isu tanah, yang mana sebelumnya isu tanah lebih tinggi.

“Sejak tahun lalu, isu dokumentasi ini meningkat statistiknya daripada 20 hingga 30 peratus kepada kira-kira 70 peratus.

“Sebanyak 271 aduan diterima oleh SUHAKAM Sabah sehingga sekarang iaitu 120 daripadanya adalah kes dokumentasi dengan pelbagai kategori,” katanya ketika berucap pada sidang akhbar Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah di sini, kelmarin.

Katanya selain kes dokumentasi, selebihnya adalah aduan daripada pelbagai kes seperti tanah, kepolisan dan perumahan.

Jasmih berkata kes berkenaan sudah dimajukan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan daripada kementerian berkenaan.

“Antara kes dokumentasi yang direkodkan seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan.

“Pada hari ini sahaja, kita masih mendapat aduan sebanyak 10 kes melibatkan isu dokumentasi pengenalan diri dan kewarganegaraan yang diterima,” katanya.

Menurutnya SUHAKAM Sabah menerima aduan berkenaan apabila terdapatnya isu-isu seperti pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.

“Maksud saya, apabila seseorang itu tidak mempunyai kad pengenalan mahupun sijil lahir, permohonan mereka untuk bersekolah ditolak.

“Jadi mereka akan datang kepada SUHAKAM untuk merayu berkenaan status dokumentasi mereka.

“Begitu juga kes-kes bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan di klinik atau di tempat kerja, di mana mereka tidak mendapat keistimewaan sebagai seorang yang mempunyai hak,” katanya.

Menurut Jasmih kes-kes yang diterima SUHAKAM adalah melibatkan taraf kewarganegaraan walaupun salah seorang daripada ibu bapa mereka adalah warganegara atau yang lahir di Malaysia.

Katanya SUHAKAM akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menemui pihak berwajib bagi membela hak asasi pengadu melalui fakta kes yang direkodkan.

“Kami akan bawa kepada kementerian mengikut fakta kes pengadu sebagai memperjuangkan hak asasi untuk semua. SUHAKAM juga akan kumpulkan semua kes dan fakta kerana setiap kes yang diterima adalah berlainan fakta,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah Lee Pun Yee merayu agar pihak berwajib dapat memperhalusi kes berkenaan dan memberikan tindak balas supaya pemohon kewarganegaraan mahupun penduduk tetap atau sementara mengetahui status permohonan mereka.

Katanya 10 kes yang dibawa kepada SUHAKAM pada sidang akhbar kelmarin adalah berlainan fakta.

Fakta yang diperoleh adalah seperti status kerakyatan seseorang yang mana bapanya seorang warganegara tetapi anaknya tidak mendapat kerakyatan.

“Kes berkenaan menghalang anak ini untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana tidak dapat membuat kad pengenalan diri walaupun mendapat 4A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selain itu, ada kes di mana ibunya seorang warganegara dan bapanya dari Hong Kong juga tidak mendapat sijil kelahiran atau dokumen kerakyatan Malaysia.

“Banyak lagi kes yang mana mereka pernah membuat permohonan kewarganegaraan mahupun Penduduk Tetap (PR) tetapi ditolak tanpa sebab,” katanya.

Lee berkata beliau akan menghantar surat kepada kementerian untuk menyelesaikan kes-kes berkenaan bagi membela hak asasi mereka.

Advertisement