Anda di sini

Kerjasama erat Sarawak-Brunei beri manfaat kedua-dua pihak

Advertisement
 Awang Tengah menyampaikan cenderamata kepada Lim (dua kanan) sambil disaksikan Awang Mohammad (kanan) serta (dari kiri) Julaihi dan Naroden pada majlis makan malam dan mesyuarat, malam kelmarin.

PENGHARGAAN: Awang Tengah menyampaikan cenderamata kepada Lim (dua kanan) sambil disaksikan Awang Mohammad (kanan) serta (dari kiri) Julaihi dan Naroden pada majlis makan malam dan mesyuarat, malam kelmarin.

Brunei sentiasa menjadi rakan dagangan penting kepada Sarawak

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Kerjasama ekonomi yang erat melalui jawatankuasa dua hala antara Sarawak dan negara Brunei Darussalam akan terus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari aspek perdagangan.

Menteri Perindustrian, Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Brunei Darussalam sentiasa menjadi rakan dagangan penting kepada Sarawak.

“Dagangan antara keduadua pihak telah meningkat sejak bertahun lalu, menggambarkan kerjasama sosioekonomi erat antara Sarawak dan Brunei Darussalam.

“Misalnya pada tahun 2014, imbangan perdagangan antara Sarawak dan Brunei Darussalam adalah RM76 juta iaitu peningkatan ketara daripada RM69.5 juta pada tahun 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Menteri Hal Ehwal Luar dan Dagangan Kedua Brunei Darussalam, Pehin Datuk Lim Jock Seng serta Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Dua Hala Sarawak dan Brunei Darussalam di sini, malam kelmarin.

Tambah Awang Tengah, dari segi jumlah eksport Sarawak ke Brunei pada tahun 2014 ia bernilai RM116 juta dengan barangan utama termasuk makanan, barangan pembuatan, peralatan pengangkutan serta mesin dan barangan kilang seperti perabot, pakaian dan aksesori pakaian.

“Sementara jumlah import dari Brunei pada tahun yang sama (2014) pula berjumlah RM40 juta dengan produk petroleum dan petroleum terus menjadi bahan import utama.

“Dengan kerjasama erat ekonomi melalui jawatankuasa dua hala, saya yakin dagangan masa hadapan Sarawak dan Brunei Darussalam terus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenau kerjasama ekonomi dua hala, Awang Tengah memberitahu, semenjak mesyuarat pertama pada tahun 2010, kedua-dua negara telah bekerjasama dalam lima bidang utama iaitu tenaga, telekomunikasi, pelancongan, pertanian dan pembangunan Hab Halal.

Tahun ini katanya merupakan tahun ketujuh kerjasama dua hala berkenaan dan kerjasama itu harus diiktiraf atas komitmen dan usaha pegawai berkaitan.

“Kita telah berjaya menandatangani perjanjian dua hala dan kini sedang melaksanakan projek kerjasama dalam sektor telekomunikasi.

Manakala sektor tenaga sentiasa menunjukkan kemajuan baik dalam kedua-dua rundingan teknikal dan kewangan,” tegasnya yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua.

Majlis turut dihadiri Menteri Tenaga dan Industri Brunei Darussalam Pehin Kolonel (B) Datuk Dr Awang Mohammad Yasmin Umar, Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais.

 

Advertisement