Anda di sini

CAPS ingatkan pengguna bijak rancang perbelanjaan

Advertisement

KOTA KINABALU: Peningkatan kos sara hidup yang berterusan di negeri ini amat membebankan pengguna terutama sekali golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Perlindungan Pengguna Sabah (CAPS) James Bagah berkata selain faktor kenaikan harga barangan, faktor kegagalan merancang dan mengurus kewangan dengan bijak menambahkan lagi beban sedia ada dan akhirnya mengheret pengguna berhutang untuk memenuhi keperluan hidup.

Katanya keinginan berbelanja semata-mata untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki sedangkan ianya bukan barangan keperluan juga merupakan pendorong seseorang untuk berhutang.

“Amalan berhutang ini perlu dielak kerana bukan sahaja ia mendatangkan implikasi yang boleh memporak-perandakan kehidupan sesebuah keluarga dan generasi akan datang malah boleh mengundang pengguna jatuh muflis,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

James berkata berbelanja mengikut keutamaan dan kemampuan merupakan intipati pengurusan kewangan yang bijak. Trend pengguna masa kini sentiasa berbelanja di luar kemampuan kerana lupa mengukur baju di badan sendiri.

Katanya tidak dapat dinafikan keperluan hidup yang semakin mendesak dengan kos sara hidup yang melonjak tinggi memaksa pengguna memilih untuk berhutang.

Menurut kajian yang dilakukan dalam tahun 2013, nisbah hutang isi rumah negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai paras tertinggi sebanyak 83 peratus berbanding negara-negara membangun di Asia.

Katanya pengurusan kewangan berhemah adalah satu kemahiran yang perlu ada pada setiap individu untuk membebaskan diri daripada belenggu hutang.

Justeru, katanya, Gabungan Persatuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menganjurkan program Pengurusan kewangan Bijak di negeri Sabah setiap tahun yang diselaraskan oleh CAPS.

“CAPS berharap pengguna mengambil kesempatan untuk menghadiri program ini pada masa-masa akan datang kerana penekanannya lebih kepada amalan pengurusan kewangan secara bijak, bukan sahaja memupuk amalan berjimat cermat malah dapat mengukur kemampuan kewangan diri sebelum membuat keputusan untuk berbelanja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengguna didedahkan dengan scam penipuan atas talian, risiko sebagai penjamin, penstrukturan semula pinjaman, produk dan perkidmatan perbankan, pengurusan hutang, tuntutan ganti rugi, menentu keperluan dan kehendak, panduan membuat aduan, pelaburan, wasiat dan perlindungan diri.

Advertisement