Anda di sini

Kerajaan iktiraf peranan dan tanggungjawab ketua adat

Advertisement
 MUSA (duduk tengah) bersama Madius (duduk kanan), Hajiji (duduk kiri) serta tetamu kehormat lain menunjukkan tanda bagus ketika membuat tinjauan dalam bangunan Mahkamah Anak Negeri Tuaran.

IKTIRAF: MUSA (duduk tengah) bersama Madius (duduk kanan), Hajiji (duduk kiri) serta tetamu kehormat lain menunjukkan tanda bagus ketika membuat tinjauan dalam bangunan Mahkamah Anak Negeri Tuaran.

TUARAN: Kerajaan memandang tinggi dan mengiktiraf peranan serta tanggungjawab ketua adat kerana mereka adalah pemimpin peringkat akar umbi yang membawa imej kepimpinan dalam menegakkan keadilan dan keharmonian hidup rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, semua pihak perlu memastikan kesinambungan kepimpinan adat yang diwarisi sejak sebelum merdeka.

“Ketua-ketua adat yang kita lantik adalah benteng terakhir dalam memelihara adat, memegang amanah dan hak, seterusnya masa depan anak negeri.

“Saya menaruh keyakinan bahawa pemimpin adat mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan adil dalam menyelesaikan setiap masalah di kawasan masing-masing,” katanya ketika merasmikan bangunan Mahkamah Anak Negeri Tuaran, di sini kelmarin.

Musa berkata ketua adat juga perlu turun padang bersama pemimpin kerajaan bagi membantu wakil rakyat menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi.

Katanya, kerajaan akan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada institusi adat seperti Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) dalam mempertahankan serta memelihara adat setiap suku kaum di Sabah.

“Kerajaan juga menunjukkan komitmen dan sentiasa bersedia memberi sokongan material serta moral untuk membawa transformasi dan kemajuan dalam memperkasakan institusi adat agar institusi khasnya Mahkamah Anak Negeri akan terus relevan dan maju.

“Sabah dan Sarawak memiliki keunikan tersendiri dengan mengamalkan sistem kehakiman Anak Negeri di negara kita.

“Justeru, kita mesti mengekalkan warisan yang kita miliki dan pada masa yang sama menyesuaikan dengan tuntutan semasa demi menjamin kelangsungan pada masa akan datang,” katanya.

Katanya atas dasar itu, usaha transformasi sistem kehakiman negeri perlu disokong oleh semua pihak bagi memartabatkan perundangan adat sebagai sistem kehakiman penting di Malaysia.

Musa menegaskan undang-undang adat mesti sentiasa dikemas kini supaya ia tidak dianggap sebagai undang-undang lapuk atau ketinggalan zaman.

“Kita mahu supaya sistem kehakiman anak negeri lebih dinamik dan dikemas kini agar ia dapat berkembang sejajar dengan perubahan dan keperluan semasa.

“Ini tidak bermakna kita mengubah adat, tetapi kita ingin memastikan supaya sistem kehakiman anak negeri dan perundangan adat setaraf dengan sistem kehakiman yang lain,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Advertisement