Anda di sini

Semua pihak perlu bersatu kekalkan keharmonian

Advertisement
 Yahya melaungkan merdeka sebanyak tiga kali ketika merasmikan Bulan Kemerdekaan Sutera Harbour Resort 2016, kelmarin.

SEMANGAT: Yahya melaungkan merdeka sebanyak tiga kali ketika merasmikan Bulan Kemerdekaan Sutera Harbour Resort 2016, kelmarin.

KOTA KINABALU: Malaysia mampu melangkah lebih jauh lagi sekiranya semua pihak mengambil inisiatif yang positif dalam mengekalkan keharmonian serta kemakmuran negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia meningkatkan lagi penghayatan serta komitmen masing-masing agar Malaysia terus menjadi sebuah negara yang dihormati dan disegani di serata dunia.

“Malaysia, khasnya Sabah, sememangnya sudah terkenal dengan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

“Walaupun dengan cara hidup serta kepercayaan yang berbeza, kita telah membuktikan bahawa kita boleh dan sentiasa bersatu hati serta langsung bersepakat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat, cemerlang dan gemilang,” katanya ketika merasmikan Bulan Kemerdekaan Sutera Harbour Resort 2016, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Musa berkata, sentimen sehati sejiwa boleh menjadi ikatan hubungan sebagai satu bangsa yang gagah. Semangat sayangkan negara menjadi benteng keharmonian serta kemakmuran negara, sekali gus akan meningkatkan lagi martabat Malaysia.

Katanya, penganjuran majlis seumpama itu membolehkan rakyat berkongsi tentang keunikan dan sejarah Malaysia kepada dunia luar.

“Ia juga memberikan gambaran yang positif di mana Malaysia adalah negara yang berdaulat serta makmur dan sejahtera, dan ini sudah tentu akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terbaik di dunia.

“Saya percaya inisiatif resort ini adalah contoh terbaik bagi organisasi yang lain, khususnya dalam industri perhotelan dan pelancongan dalam konteks meraikan sambutan kemerdekaan di negara kita,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Harbour Resort Gerard Tan dan Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Superintendan Mohd Azhar Hamin.

Advertisement