Anda di sini

Malaysia bakal jadi antara 20 negara pengeksport terbesar dalam 2-3 tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasar untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara pengeksport terbesar di dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, didorong oleh aktiviti promosi yang agresif serta strategi kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dzulkifli Mahmud, buat masa ini Malaysia berada pada kedudukan ke-23 sebagai negara pengeksport terbesar di dunia, mengeksport ke lebih daripada 200 negara.

“Bukanlah mudah untuk mengekalkan kedudukan tersebut dan bukan mustahil juga untuk mencapainya …namun kita perlu melihat kepada pelbagai faktor, termasuk turun naik mata wang, situasi ekonomi global, persaingan dan juga permintaan pasaran.

“Tetapi, kita pernah berada di tangga ke-18 sebagai negara pengeksport terbesar pada tahun 80-an dan itu satu pencapaian agak memuaskan,” kata beliau kepada pemberita selepas taklimat media mengenai kempen terbarunya, ‘CelebExports’, di sini kelmarin.

CelebExport merupakan satu kempen pengukuhan penjenamaan eksport dalam kalangan artis tempatan di mana mereka akan diberikan konsultasi secara percuma di Pusat Integrasi Eksport Matrade.

Dzulkfili berkata, melalui kempen ini, MATRADE berharap dapat membantu meningkatkan nilai eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia selain memberi peluang kepada golongan artis mengembangkan perniagaan secara global.

Tahun ini, terdapat 150 misi perdagangan asing termasuk 85 adalah untuk promosi eksport dan 65 untuk pembangunan eksport, kata beliau.

“Kita mempunyai ramai selebriti yang terlibat dalam bidang perniagaan namun kebanyakan mereka memberi fokus kepada pasaran domestik.

“Mereka perlu melihat peluang pasaran luar, contohnya di pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 600 juta orang dan 800 juta orang bagi pasaran Perkongsian Trans-Pasifik,” katanya lagi.

Beliau berkata Matrade akan berusaha membantu dan menggalakkan selebriti perniagaan Malaysia mendapat akses pasaran luar negara dalam semua sektor.

“Setakat ini, NH Prima International Sdn Bhd, milik pelakon dan pengacara TV terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor, merupakan syarikat pertama yang menyertai kempen ini dan kita turut mengalu-alukan penyertaan daripada artis tempatan lain,” kata Dzulkifli.

Sementara itu, pengarah NH Prima, Neelofa berkata kempen ini merupakan platform untuk gologan artis mengeksport dan meluaskan penjenamaan mereka.

“Melalui bantuan MATRADE, kami mulai faham perkara-perkara seperti akses ke pasaran, peluang kerjasama global serta kepentingan mewujudkan model perniagaan yang ideal dalam mengembangkan operasi perniagaan.

“Saya turut menggalakkan artis tempatan lain untuk bersama-sama mempelajari eksport dan segera mengambil peluang yang pasti menjanjikan pulangan besar buat mereka,” kata beliau.

Setakat ini, jualan eksport Neelofar Hijab mencecah RM5 juta dengan RM2.1 juta daripadanya adalah daripada perniagaan dalam talian sementara RM2.9 juta melalui perkhidmatan stokis.

NH Prima adalah syarikat baharu yang memasarkan jenama Neelofa seperti Naelofar Hijab, Naelofar Abaya, LF Lens dan Bellavita di bawah satu bumbung. — Bernama

Advertisement