Anda di sini

Lebih RM5.2 juta harta pengedar dadah dirampas

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya merampas harta benda termasuk wang tunai milik pengedar dadah bernilai lebih RM5.2 juta bagi tempoh antara Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Supt Mohammed Fadzil A. Rahman berkata daripada jumlah berkenaan, nilai rampasan terbesar membabitkan wang dalam akaun bank (lebih RM2.1 juta), kenderaan (lebih RM1.1 juta) rumah (RM1.7 juta), wang tunai (RM127,596) dan barang kemas (RM37,133).

“Bagi tempoh sama tahun ini juga, JSJN Sabah telah melakukan 473 tangkapan daripada 312 kes dalam kategori membekal dadah, iaitu peningkatan sebanyak 5.35 peratus berbanding 449 tangkapan melibatkan 274 kes pada tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohammed Fadzil berkata, daerah Kota Kinabalu mencatat jumlah tangkapan tertinggi bagi kategori pembekal dadah diikuti Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Penampang.

Katanya tangkapan terbesar bagi kategori bekalan dadah pada tahun ini ialah pada April lalu di mana 6.6 kilogram syabu berjaya dirampas di terminal bas Inanam, Kota Kinabalu, serta menahan lima pengedar.

Sementara itu, Mohammed Fadzil berkata bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini juga, JSJN Sabah merekodkan 1,524 tangkapan melibatkan 1,230 kes pemilikan dadah berbanding 1,605 tangkapan daripada 1,296 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya penurunan peratusan tangkapan dalam kategori pemilikan dadah tahun ini adalah disebabkan tumpuan lebih diberikan kepada kategori bekalan agar lebih ramai pengedar dapat ditumpaskan dan dibawa ke muka pengadilan.

Mohammed Fadzil juga berkata sepanjang tempoh sama, JSJN berjaya melakukan 10 tangkapan mengikut Seksyen 31(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas dan kesemua mereka telah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak di Simpang Renggam, Johor dan Alor Gajah, Perak.

“Polis akan terus mempertingkatkan usaha mencegah kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah daripada terus berleluasa walaupun pelbagai taktik baharu telah digunakan sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya. — Bernama

Advertisement