Anda di sini

Fernandes pertahan caj rendah PSC di klia2

Advertisement

PUTRAJAYA: AirAsia semalam mempertahankan kewajaran mengekalkan perbezaan caj perkhidmatan penumpang (PSC) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata caj PSC yang rendah di klia2 itu perlu dikekalkan dalam usahanya menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada ramai penggunanya.

Beliau turut berkongsi analogi dengan berkata: “Kami adalah hotel tiga bintang dan jika setiap hotel di Malaysia (bertaraf) lima bintang, sudah pasti pelancong kurang di sini.

“Lapangan terbang perlu memiliki pendekatan sama untuk menarik lebih pelancong, menggalakkan perjalanan penumpang serta industri pelancongan.”

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis makan tengah hari di Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru (ICBOS), di sini, semalam.

Kenyataanya sebagai mengulas gesaan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) baru-baru ini supaya kerajaan Malaysia bertindak menyeragamkan kadar PSC di KLIA dan klia2.

Fernandes yang dikenali kerana kelantangannya, turut menggesa pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk ‘berfikir di luar kebiasaan’ bagi menangani isu itu dari sudut berbeza.

“Kami adalah peneraju industri penerbangan tambang rendah dan berjaya mengatasi Singapura. Oleh itu, biarkan perkembangan ini berlaku. Malaysia Airports perlu berfikir (secara Strategi) Lautan Biru, berfikir secara berbeza,” katanya.

Beliau turut menyelar IATA dan menegaskan bahawa Malaysia tidak harus membiarkan persatuan itu untuk menentukan sebarang bentuk tindakan masa depan membabitkan industri penerbangan negara.

“Bagaimanakah sebuah pertubuhan antarabangsa boleh memberitahu atau memperlekeh apa yang rakyat kita nikmati selama ini, sedangkan pertubuhan yang sama ini tidak tidak pula menyentuh perkara sama mengenai lapangan terbang (di London) Heathrow, Gatwick, Stansted dan Luton).

“Oleh itu, ia (IATA) sewajarnya memaparkan pendirian sama terhadap lapangan terbang di London dan Perancis kerana lapangan terbang Stansted misalnya, mengenakan caj berbeza berbanding Heathrow,” katanya.

AirAsia tidak menganggotai IATA yang diwakili 265 syarikat penerbangan dan merangkumi 83 peratus daripada aliran trafik udara global. — Bernama

Advertisement