Anda di sini

Dua didakwa mohon MyKad guna dokumen orang meninggal dunia

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang wanita dan lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini kelmarin atas tuduhan memberikan maklumat palsu semasa memohon kad pengenalan dengan menggunakan nombor surat beranak orang yang sudah meninggal dunia.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menetapkan pada 18 dan 19 September bagi pengurusan kes melibatkan Nooraliza Abdullah dan Alin Lamburakan.

Nooraliza didakwa memberikan maklumat palsu semasa memohon MyKad bernombor 020919-12-0242 atas nama Noor Hafizah Alin. Tertuduh memberikan butir-butir sijil kelahiran milik orang lain pada 10 Ogos, jam 8.30 pagi di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kompleks Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Alin pada masa dan tempat yang sama didakwa hadir bersama penama Noor Hafizah Alin (tertuduh pertama), dipercayai anak saudaranya di kaunter bahagian siasatan dan penguatkuasaan, menyemak status kad pengenalan Noor Hafizah yang mana, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu semasa permohonan kali pertama MyKad bernombor 020919-12-0242 atas nama Noor Hafizah dan, pada pengetahuan tertuduh butir-butir sijil kelahiran itu adalah milik orang lain.

Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Peguam Dominic Chew yang mewakili Alin memberitahu bahawa tertuduh mempunyai isteri dan lapan orang anak. Tertuduh juga bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit dengan gaji bulanan yang rendah.

Surat beranak yang digunakan tertuduh adalah milik anaknya dan ia digunakan bagi membantu anak saudaranya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan bayaran RM2,000 serta dua penjamin tempatan.

Kedua-dua kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Shamsuddin Erang dari JPN.

Advertisement