Anda di sini

Ibu bapa perlu elak sertai aktiviti jejaskan kebajikan anak

Advertisement
 Janet (dua kiri) melihat peserta bengkel menjalankan acara mencelup baju T.

BENGKEL: Janet (dua kiri) melihat peserta bengkel menjalankan acara mencelup baju T.

KOTA KINABALU: Ibu bapa diingatkan agar mengelak daripada menyertai sebarang aktiviti tidak berfaedah yang boleh menyebabkan kebajikan anak terabai.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (KPMHEP) Janet Chee berkata adalah penting bagi ibu bapa untuk belajar membahagikan masa bersama anak masing-masing.

“Secara amnya, hanya 20 peratus sahaja perkongsian masa bersama ahli keluarga masing-masing di negara ini dan keadaan ini amat membimbangkan.

“Kita perlu memberi pendedahan kepada golongan sasar bagi menerapkan semangat satu keluarga bahagia melalui pembahagian masa yang dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui ketika mewakili Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid merasmikan Bengkel ‘Family be Friends For Families, di sini kelmarin.

Beliau berkata, perkongsian masa yang baik juga mampu memberikan ruang kepada ibu bapa untuk menyelesaikan masalah dalam kalangan ahli keluarga masing-masing.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa perlu bijak dalam berkomunikasi tanpa mewujudkan rasa kurang selesa dalam kalangan ahli keluarga.

“Jangan salahkan anak-anak kita sekiranya mereka terjebak dalam sebarang aktiviti yang tidak berfaedah.

“Seharusnya, ibu bapa yang perlu memberikan masa memantau serta menjadi pendengar yang baik untuk mereka (anak) meluahkan masalah,” katanya.

Mengulas program pula, Janet merakamkan ucapan tahniah atas kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam menganjurkan program sedemikian.

Katanya KPMHEP sentiasa mengalu-alukan penglibatan NGO bersama-sama dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keluarga bahagia.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Befrienders Kota Kinabalu (BFKK) Johan Amilin berkata, seramai 220 orang yang terdiri daripada 47 keluarga menyertai program berkenaan.

Katanya, program itu adalah lanjutan program terdahulu yang sudah dijalankan di Kota Marudu dan Kudat bagi memberi kesedaran mengenai keluarga bahagia dan masalah kesihatan mental.

“Pelbagai aktiviti kita adakan selama sehari ini yang berobjektif meningkatkan komunikasi serta hubungan antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

“Kami yakin impak program seperti ini akan memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara mereka,” katanya.

Advertisement