Anda di sini

Lelaki rugi RM2,100 terperdaya dengan iklan di Internet

Advertisement

KENINGAU: Seorang lelaki tempatan menjadi mangsa tipu dan mengalami kerugian RM2,100 kerana terperdaya dengan iklan yang dimuat naik menerusi Internet.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong memberitahu di sini kelmarin bahawa, lelaki berusia 34 tahun berasal dari Tambunan telah ditipu oleh iklan di laman web berkenaan.

Katanya, pada 11 Ogos lalu, IPD di sini telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki yang mengatakan telah ditipu dalam urusan pembelian lampin pakai buang kanak-kanak sebanyak 200 kotak yang diiklankan melalui laman web berkenaan.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati pengadu telah melayari laman web itu pada 24 Mei tahun ini dan telah melihat satu iklan menjual lampin kanak-kanak pakai buang yang ditawarkan dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Pada 26 Mei bertempat di sebuah bank di Tambunan, pengadu telah memindahkan wang dari akaunnya ke akaun bank suspek sebanyak RM1,500.

“Selain itu, pada 31 Mei di bank yang sama, sekali lagi pengadu diarahkan untuk menyerahkan wang kepada suspek sebanyak RM600 bagi tujuan kos penghantaran,” katanya.

Douglas memberitahu bahawa, pengadu dijanjikan lampin pakai buang kanak-kanak yang dibeli oleh pengadu akan dikirimkan dalam tempoh dua minggu dari tempoh pembayaran dilakukan namun selepas itu suspek gagal untuk dihubungi.

Katanya, pengadu yang berasa telah ditipu datang membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Douglas berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh di penjara satu hingga sepuluh tahun dan sebat juga denda jika sabit bersalah.

Beliau menasihatkan orang awam agar lebih berhati-hati dengan iklan-iklan yang dimuat naik menerusi Internet bagi mengelakkan diri menjadi mangsa tipu.

Advertisement