Anda di sini

K’jaan beri perhatian bantu selesai isu industri kelapa sawit

Advertisement

SANDAKAN: Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan membantu menyelesaikan beberapa isu tertunggak yang dihadapi Persatuan Penanam-Penanam Malaysia Timur (EMPA) dari semasa ke semasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, isu berkenaan termasuk berkaitan kos pengeluaran yang tinggi, kekurangan tenaga kerja, kadar caj pengangkutan tinggi serta levi pekerja yang tinggi.

“Memandangkan kepentingan yang semakin meningkat dalam sektor perladangan di Malaysia Timur, saya percaya EMPA akan terus menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri dan memulakan dasar dan keputusan dengan kerajaan negeri secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar EMPA 2016 ‘Sustaining Plantations’ Profitability Through Productivity’,” di Sabah Hotel di sini, kelmarin. Teks ucapan dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ellron Alfred Angin.

Secara global, Musa berkata kelapa sawit adalah minyak sayur-sayuran terbesar yang dihasilkan dan diniagakan di pasaran antarabangsa dengan permintaan dijangka berkembang sebanyak 40 peratus lagi kepada kira-kira 78 juta tan metrik pada 2020.

Oleh itu, beliau yakin minyak sawit akan kekal sebagai produk penting dalam pasaran global minyak dan lemak untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

Dalam konteks itu, amat penting bagi Malaysia untuk terus menghasilkan minyak sawit secara mampan untuk memenuhi tuntutan berkenaan dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Musa berkata, telah menjadi kebiasaan pasaran minyak sawit diniagakan sebagai satu komoditi dan digunakan sebagai pengganti bagi minyak lain kerana tarikan harga.

Jelasnya, keutamaan untuk menggunakan minyak sawit mestilah berdasarkan kepada kualiti serta sifat-sifatnya dan bukan pada harga.

“Oleh itu, untuk membezakan minyak sawit Malaysia dengan minyak makan yang lain, pemain industri termasuk penapis perlu memberi jenama kepada minyak sawit Malaysia untuk membezakan dirinya dengan sumber-sumber lain bagi membina pasaran khusus berdasarkan kualiti,” jelasnya.

Sementara kerajaan mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan daya saing industri minyak sawit, Musa berkata amat penting bagi pemain industri untuk meneroka semua saluran yang ada untuk menyokong usaha berkenaan.

Oleh itu, adalah penting bagi sektor penapisan untuk meneroka langkah-langkah bagi mengukuhkan produktiviti dan mengurangkan kos serta mengintegrasikan dengan produk hiliran lain.

“Saya juga menggalakkan ahli EMPA agar bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang lain di sepanjang rantaian bekalan dengan memperluas rangkaian mereka dan meneroka pelbagai kemungkinan baharu untuk memastikan industri ini terus berkembang,” katanya.

Kira-kira 200 peserta menghadiri seminar itu yang membincangkan pelbagai topik berkaitan biomas kelapa sawit, pensijilan minyak sawit, teknologi pengurusan baharu serta memaksimumkan kepadatan tanah.

Advertisement