Anda di sini

Kebakaran rumah perlu dijadikan semangat untuk belajar

Advertisement

TAWAU: Para pelajar yang terjejas akibat kebakaran rumah seharusnya tidak menjadikan insiden malang itu halangan untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, mereka sebaliknya perlu menjadikan ia satu pembakar semangat untuk terus berjuang dalam mendapatkan ilmu pendidikan demi masa hadapan mereka.

Tambahnya lagi, rakyat di negeri ini juga haruslah bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin dan terus memberi bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah.

Beliau berkata, oleh itu rakyat haruslah menghargai dan membalas segala bantuan itu dengan terus berdiri teguh di bawah kerajaan yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya dalam membantu rakyat.

“Kerajaan sentiasa menyalurkan bantuan melalui agensi-agensi berkenaan dalam usaha memberi bantuan kepada masyarakat terutamanya mereka yang telah ditimpa musibah.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan bantuan kepada 19 pelajar SK Bandar Tawau yang terlibat dengan dua insiden kebakaran di Tanjung Batu dan Kampung Pukat.

“Oleh itu kita haruslah menghargai dan membalas jasa baik itu, dengan sentiasa menyokong pihak kerajaan yang ada masa kini,” katanya.

Dalam majlis itu para pelajar turut menerima sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Dalam pada itu, Nizam berharap para penerima bantuan itu memanfaatkan sebaiknya sumbangan itu untuk kegunaan yang berfaedah.

“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan jangan guna duit tersebut untuk kegunaan lain yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya.

Beliau turut menyarankan badan badan korporat atau NGO yang mempunyai kelebihan agar membantu mangsa mangsa kebakaran di kawasan itu.

Advertisement