Anda di sini

Kadar pertumbuhan KDNK seiring rakan dagang utama

Advertisement

Mencerminkan ketahanan dan asas ekonomi kekal kukuh

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan yang  betul dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua 2016, seiring dengan pertumbuhan sederhana dalam kalangan rakan dagang utama negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ini mencerminkan ketahanan ekonomi negara dan asas ekonominya yang kekal kukuh.

Sehubungan itu, beliau turut yakin sasaran rasmi KDNK sebanyak 4.0 hingga 4.5 peratus bagi tahun ini dapat direalisasikan berdasarkan perkembangan terkini.

“Walaupun projek-projek pembangunan masih diteruskan, kerajaan akan  memastikan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan awam dilaksanakan  supaya sasaran fiskal dapat dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua 2016 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama, dipacu terutamanya oleh permintaan dalam negeri, penggunaan swasta dan pelaburan.

Abdul Rahman juga berkata bagi mengukuhkan ketahanan dan memastikan kadar pertumbuhan ekonomi terus mampan, beberapa langkah penting akan diambil.

Antaranya memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); pemberian pelbagai dana untuk pembangunan kapasiti dan peningkatan teknologi, dan pengecualian cukai pendapatan bagi menggalakkan eksport.

Beliau berkata penambahbaikan infrastruktur juga akan dilaksanakan termasuklah sistem pengangkutan awam, telekomunikasi dan  infrastruktur luar bandar, menaik taraf jalan, menyedia bekalan elektrik, dan menambah baik kemudahan sosial.

Selain daripada itu, katanya, aktiviti ekonomi pertanian juga akan terus dipromosikan dan diperkukuhkan termasuk mempertingkatkan automasi dan mekanisasi aktiviti pertanian, membangunkan agropreneur muda dan menambah baik infrastruktur pertanian.

“Bagi eksport pula, dana akan disediakan untuk mempromosikan produk Malaysia dan menggalakkan eksport perkhidmatan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dengan pertumbuhan ekonomi yang masih mampan  pendapatan purata rakyat telah meningkat kepada RM36,675 pada suku kedua, kenaikan lebih daripada RM700 atau dua peratus berbanding suku yang sama tahun lepas.

Sementara itu, katanya, Malaysia kekal optimis walaupun terdapat beberapa risiko yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi seperti harga minyak dunia yang rendah, prospek pertumbuhan tidak menentu di zon Eropah, dan ketidaktentuan dasar kewangan negara maju.

“Negara masih boleh menghadapi sebarang risiko kerana asas ekonomi negara telah dipelbagaikan dan ini turut diakui oleh unjuran badan penarafaran antarabangsa,” katanya.

Di samping itu, katanya, kerajaan telah mengambil langkah-langkah awalan sejak awal tahun lagi bagi melindungi ekonomi daripada kesan-kesan tersebut.

Sebagai contoh, penurunan kadar faedah baru-baru ini akan terus menyokong permintaan domestik dan meringankan beban kewangan rakyat.

Abdul Rahman turut menyentuh mengenai beberapa inisiatif lain kerajaan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup, antaranya insentif duit raya RM500 kepada peneroka FELDA dan penjawat awam, pemberian kewangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kenaikan gaji minimum pekerja swasta kepada RM1,000.

Di samping itu, kerajaan juga akan meneruskan pembinaan rumah mampu milik, memperbanyakkan kedai 1Malaysia yang menawarkan harga berpatutan bagi barangan keperluan dan klinik 1Malaysia.

Pada masa yang sama kerajaan juga akan meningkatkan bilangan outlet pemasaran produk pertanian seperti agrobazaar dan ‘MyFarm Outlet’ yang menawarkan barangan terus dari ladang kepada pengguna dengan harga yang lebih rendah. — Bernama

Advertisement