Anda di sini

JPNIN Sabah bantu golongan yang kurang berkemampuan

Advertisement
 Delin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program Jalinan Kasih ‘Beramal untuk Perpaduan’.

BERAMAL: Delin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program Jalinan Kasih ‘Beramal untuk Perpaduan’.

Lawat pusat didikan kurang upaya dan rumah warga emas

KOTA KINABALU: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah membantu golongan yang kurang berkemampuan melalui program Jalinan Kasih ‘Beramal untuk Perpaduan’.

Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun berkata, program bertemakan ‘Beramal untuk Peraduan’ itu membuat lawatan amal ke salah satu pusat didikan kurang upaya dan empat buah rumah warga emas di sekitar Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sembulan Baru.

“Melalui program ini, pihak yang terlibat membuat Iawatan amal ke Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya Sembulan sambil menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran.

“Rombongan juga sempat menghulurkan sumbangan barang-barang keperluan kanak-kanak kepada taman didikan kanak-kanak berkenaan.

“Selain itu, rombongan ini membuat Iawatan amal ke empat buah rumah warga emas yang sedang uzur di sekitar KRT Sembulan Baru di samping memberikan sumbangan berupa wang tunai dan barang-barang keperluan demi meringankan beban mereka,” katanya ketika merasmikan program itu, di sini kelmarin.

Delin berkata, program itu adalah sebagai usaha memperkukuhkan perpaduan negara dan bagi menyeru untuk sentiasa mendokong hak asasi golongan kurang bernasib baik di samping memastikan golongan-golongan berkenaan tidak tersisih dalam masyarakat seiring dengan peredaran zaman.

“Maka, melalui program ini diharapkan ia secara tidak Iangsung membentuk jati diri dan memupuk nilai mengasihani dalam kalangan diri peserta walaupun berlainan agama dan mewujudkan ruang interaksi positif bagi semua kaum dan agama untuk bekerjasama demi mempertahankan perpaduan sejagat di negeri ini.

“Negeri Sabah terdiri daripada pelbagai etnik dan agama dan ini sudah menjadi keunikan dan khazanah berharga yang perlu dipelihara secara turun-temurun dan kita perlu bersama-sama menjaga sensitiviti dan menghormati kepelbagaian kepercayaan yang wujud di negeri ini dengan penuh kesederhanaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, program Jalinan Kasih itu adalah kesinambungan dengan Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (WIHW) yang disambut pada Februari setiap tahun di seluruh dunia.

“WIHW pada awalnya merupakan inisiatif yang diwujudkan bagi memupuk persefahaman dan semangat toleransi di antara pemimpin-pemimpin agama di seluruh negara menerusi dialog antara agama yang berteraskan kepada dua paksi Hukum Agama Asas yang diterima ramai iaitu ‘Kasihilah Tuhanmu dan Kasihilah sesamamu’ tanpa mengira kaum dan agama.

“Namun demikian, program kita pada hari ini sangat unik kerana bukan sahaja melibatkan ahli-ahli agama, tetapi kita perlu memperkenalkan program-program berkenaan dengan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) iaitu berama mesra dengan ahli skuad uniti dengan pengerusi-pengerusi kawasan rukun tetanga dan ahli-ahlinya supaya timbul perasaan semangat kekitaan semangat muhibah.

“Kalau diikutkan, program ini memang dikhususkan kepada JKMPKA iaitu ketua-ketua agama khasnya daripada agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

“Dan satu kelainan yang dibawa pada program kali ini yang mana ketua-ketua agama turut serta dalam program amal ini berbeza daripada sebelumnya yang mana program melawat ke rumah-rumah ibadat,” katanya.

Menurutnya, pemilihan tema agak berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mana ia bertujuan untuk memupuk semangat penerimaan dan perasaan kasih sesama manusia tanpa mengira kepercayaan, kaum dan agama.

Selain itu katanya, ia juga memupuk semangat kesepaduan dan toleransi antara penganut pelbagai agama dan masyarakat berbilang kaum dalam menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan serta melahirkan masyarakat yang progresif dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau berharap, program seumpama itu dapat diteruskan dan dijalankan di seluruh negeri bagi memupuk semangat toleransi.

Advertisement