Anda di sini

Penurunan pertumbuhan ekonomi tidak akan jejas rakyat: Johari

Advertisement

Kerajaan akan teliti perbelanjaan agar rakyat tidak terjejas terutama B40, M40

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan penurunan pertumbuhan ekonomi pada 4.0 peratus pada suku kedua 2016, tidak menjejaskan pendapatan negara dan kehidupan rakyat, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

“Kerajaan akan meneliti perbelanjaannya agar rakyat tidak terjejas, terutama bagi kumpulan B40 dan M40,” katanya kepada media dalam program Semarak Komuniti 1Malaysia.

Laporan Ekonomi 2015/2016 mentakrifkan kumpulan B40 sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855, manakala M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana) berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319.

Menurutnya kerajaan akan memastikan jaringan keselamatan sosial negara dijaga dan dikekalkan, dalam jangka masa satu hingga dua tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertumbuhan sederhana ekonomi dunia seperti yang dilaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam.

BNM melaporkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.0 peratus pada suku kedua 2016, menjadikan pertumbuhan 4.1 peratus pada separuh pertama 2016.

Bank pusat tersebut berkata permintaan dalam negeri lebih kukuh semasa suku dalam kajian, namun pertumbuhan telah menerima kesan daripada eksport bersih yang terus merosot dan pengeluaran stok yang tinggi.

“Ini adalah selari dengan jangkaan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia akan penurunan pertumbuhan negara bagi separuh pertama 2016 sebanyak satu peratus (4.1 peratus) berbanding 5.3 peratus pada separuh pertama 2015.

“Ia adalah sejajar dengan penurunan ekonomi dunia. Bagaimanapun, dalam konteks ASEAN, Malaysia masih lagi mencatat perkembangan dari segi ekonominya berbanding negara ASEAN yang lain,” kata Johari.

Beliau berkata kerajaan akan terus memberikan penumpuan kepada industri dalam negara, termasuk industri pelancongan dan industri-industri yang boleh merancakkan eksport negara.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang mengurangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi membantu rakyat, beliau berkata buat masa ini kerajaan tidak bercadang berbuat demikan.

“Kita juga tidak akan menaikkan kadar enam peratus GST kerana kita baru mulakan sistem ini… jadi ia akan mengambil masa yang lama untuk diubah suai, dan rakyat perlukan masa untuk membuat pelarasan dengan sistem ini,” katanya. — Bernama

Advertisement