Anda di sini

Kota Belud bakal model pembangunan daerah

Advertisement

Penambahbaikan infrastruktur jalur lebar serta capaian liputan 2G, 3G dan LTE sedang dilaksanakan

 Salleh ketika merasmikan Pusat Internat 1Malaysia di Kota Belud semalam. — Gambar Bernama

RASMI: Salleh ketika merasmikan Pusat Internat 1Malaysia di Kota Belud semalam. — Gambar Bernama

KOTA BELUD: Inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bakal menjadikan Kota Belud sebagai penanda aras dan model pembangunan berasaskan Teknologi Komunikasi dan Maklukmat (ICT) untuk daerah lain di Sabah.

Inisiatif itu, yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menggariskan enam program teras termasuk meningkatkan infrastruktur komunikasi, pembangunan aplikasi dan kandungan.

Selain itu, ia menggariskan pembangunan industri keusahawanan dan pelancongan, pusat Internet, penambahbaikan perkhidmatan pos serta sistem pemantauan keselamatan dan paras air sungai.

Salleh berkata bagi meningkatkan infrastruktur komunikasi, kerja penambahbaikan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar serta capaian liputan 2G dan 3G dan Evolusi Jangka Panjang (LTE) sedang dilaksanakan.

Langkah itu memberi akses perkhidmatan 2G yang mencecah 86 peratus penduduk setempat manakala 3G dan LTE masing-masing 75.4 peratus dan 6.1 peratus sehingga suku pertama tahun ini, katanya pada majlis itu di sini.

Turut hadir, Pengerusi MCMC Datuk Seri Dr Halim Shafie dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

“Dengan perluasan liputan 2G dan 3G yang telah melebihi 75 peratus, ini membolehkan warga Kota Belud menikmati perkhidmatan Jalur Lebar dan menjelang akhir 2016, liputan 2G dan 3G akan diperluas kepada 90 peratus bagi kawasan yang berpenduduk,” kata Salleh.

Pada majlis sama, beliau turut merasmikan bangunan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Belud dan Pusat Internet 1Malaysia di bangunan perpustakaan itu.

Beliau berkata bagi projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) inisiatif berkenaan, sebanyak empat Pusat Internet didirikan di Kota Belud iaitu di Kampung Rampayan Laut, Suang Panggor, Tamu Darat dan yang terbaru pusat internet Pekan Kota Belud.

“Kerajaan akan terus berusaha menambah baik kemudahan liputan berkenaan dengan membina menara baharu dan pemasangan alat pemancar serta memanjangkan rangkaian fiber bagi memastikan perkhidmatan berkualiti,” katanya.

Menurutnya sektor pelancongan akan mendapat tempias daripada inisiatif itu termasuk di Pulau Mantanani, yang merupakan pulau peranginan tumpuan pelancong tempatan dan asing.

Pelbagai produk kraf tangan dan pakej pelancongan juga dapat dipasarkan menggunakan Internet dengan mewujudkan perkhidmatan Internet di Pusat

Internet 1Malaysia dan aplikasi mudah alih yang dicipta sehingga memberi pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.

“Hasil usaha MCMC dengan pihak swasta, sebuah sistem rangkaian radio kecemasan VHF telah dibangunkan. Sistem Pemantauan Keselamatan dan Paras Air Sungai melibatkan pemasangan sensor di beberapa sungai dan 12 unit kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Kota Belud akan membolehkan keadaan banjir dipantau secara terus oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengenai pemasangan kemudahan Wifi untuk penduduk dan pengunjung Kota Kinabalu, Salleh berkata ia akan dilaksanakan sebaik sahaja masalah teknikal diatasi.  — Bernama

Advertisement