Anda di sini

Tiga suspek pecah rumah ditahan, empat kes selesai

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis menyelesaikan empat kes pecah rumah di beberapa kawasan di sini berikutan penahanan tiga lelaki di sekitar sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata bertindak atas maklumat, semua suspek yang berusia 23 hingga 35 tahun itu ditahan susulan laporan kes pecah masuk sebuah premis di Tanjung Aru, dekat sini Sabtu lepas.

“Turut dirampas bersama suspek berkenaan adalah beberapa barangan termasuk lima komputer riba pelbagai jenama dan lima telefon bimbit yang dipercayai dicuri.

“Turut dirampas peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, batang besi dan alat pemotong besi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek warga tempatan itu adalah penganggur dan saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

“Siasatan juga mendapati dua daripada saspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan dadah,” tambah beliau.

Katanya kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan pecah rumah dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Advertisement