Anda di sini

Tahap permodalan institusi kewangan Malaysia kekal kukuh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan, dengan sokongan penampan modal yang kukuh, berupaya menghadapi perkembangan ekonomi dan pasaran yang teruk tanpa menjejaskan pengantaraan kewangan domestik.

Pada akhir suku kedua, penampan modal institusi kewangan yang digabungkan berjumlah RM153.8 bilion.

“Tahap permodalan institusi kewangan kekal kukuh,” kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pengumuman prestasi suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2016 bagi ekonomi Malaysia di sini semalam.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua 2016, menjadikan pertumbuhan 4.1 peratus pada separuh pertama 2016.

Nisbah modal ekuiti biasa kumpulan 1 adalah pada 12.9 peratus, manakala nisbah modal kumpulan 1 dan nisbah jumlah modal masing-masing pada 13.9 peratus dan 16.4 peratus.

Lebih 90 peratus daripada modal sistem perbankan terdiri daripada perolehan tertahan, modal berbayar dan rizab dengan keupayaan teguh untuk menyerap kerugian, katanya.

Nisbah kecukupan modal bagi sektor insurans dan takaful kekal tinggi pada 228.1 peratus (Suku pertama 2016: 242.6 peratus).

“Kestabilan kewangan domestik berterusan meskipun terdapat ketidaktentuan global yang berpunca terutamanya daripada perkembangan di RR China dan keputusan referendum berkaitan dengan EU di UK,” kata BNM.

Di dalam negara, kesan langsung daripada keputusan referendum tersebut ke atas institusi kewangan adalah kecil memandangkan dedahan yang terhad terhadap UK.

“Turun naik pasaran kewangan domestik meningkat pada 24 Jun 2016, namun kembali lega untuk mengakhiri suku tersebut pada paras di bawah paras yang dicatat pada suku pertama,” kata BNM.

Secara keseluruhan, keadaan mudah tunai terus menyokong keperluan pembiayaan perniagaan dan isi rumah, katanya.

Sementara perniagaan dan isi rumah terus membuat penyesuaian terhadap persekitaran yang lebih mencabar dan kos sara hidup yang meningkat, keadaan ini dijangka memberikan impak yang kecil ke atas pendapatan dan kualiti aset institusi kewangan.

Bagi ringgit pula, BNM berkata secara keseluruhan, ringgit menyusut nilai sebanyak 2.5 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku kedua.

Ringgit juga menyusut berbanding euro (-0.6 peratus) dan yen Jepun (-10.9 peratus), namun menambah nilai berbanding dengan paun sterling (4.3 peratus) dan dolar Australia (0.4 peratus).

Ringgit juga menyusut nilai berbanding dengan kebanyakan mata wang serantau antara 0.4 peratus hingga 3.2 peratus disebabkan ketidaktentuan dasar monetari AS.

Mata wang tempatan menghadapi tekanan susut nilai yang lebih besar disebabkan turun naik harga minyak mentah dunia yang berterusan dan wajaran lebih rendah yang diberikan kepada beberapa saham Malaysia semasa proses pengimbangan semula Indeks Morgan Stanley Capital International (MSCI) Pasaran Sedang Pesat Membangun, katanya.

Namun, sebahagian daripada penyusutan nilai ini, kata BNM, telah diimbangi pada Jun berikutan muncul semula jangkaan bahawa kenaikan kadar faedah AS akan ditangguhkan berikutan pengumuman data pasaran guna tenaga AS yang lebih lemah daripada jangkaan. — Bernama

Advertisement