Anda di sini

Latihan kecemasan berskala besar uji kebolehan hadapi kecemasan

Advertisement
 Salah seorang ‘mangsa’ diselamatkan oleh anggota AFRS semasa latihan berkenaan.

LATIHAN: Salah seorang ‘mangsa’ diselamatkan oleh anggota AFRS semasa latihan berkenaan.

KOTA KINABALU: Latihan kecemasan berskala besar yang membabitkan sebahagian besar agensi penyelamat mampu melatih pasukan berkenaan bersedia menghadapi sebarang kecemasan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Pengurus Kanan LTAKK Sunif Naiman berkata objektif latihan berkenaan dilaksanakan untuk menilai keberkesanan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) ketika berlaku sebarang kemalangan semasa pendaratan pesawat.

Menurutnya latihan berkenaan juga dilaksanakan bagi memastikan semua agensi yang beroperasi di lapangan terbang dapat bersedia mengawal keadaan jika berlaku sebarang kemungkinan kecemasan pada bila-bila masa.

“Latihan berskala besar yang pertama kali diadakan ini adalah penting untuk memastikan semua pihak bersedia dan terlatih dalam menghadapi sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Melalui latihan ini juga, segala penyelarasan dan komunikasi antara agensi yang terlibat dapat diuji selain menambah baik setiap kelemahan yang berlaku sepanjang latihan berjalan,” katanya ketika ditemui di LTAKK, kelmarin.

Turut hadir pada program ialah Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Malaysian Airport Holdings Bhd (MAHB) Abd Malik Mohd Yunus.

Sunif berkata latihan berkenaan dijalankan selaras dengan keperluan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dalam memastikan semua lapangan terbang di Malaysia melaksanakan satu latihan kecemasan secara besar-besaran dua tahun sekali.

Latihan yang bermula seawal jam 10 pagi kelmarin disertai seramai 800 kakitangan termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCA, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat (AAIB), Kementerian Pengangkutan, Disaser Victim Identification (DVI), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan AirAsia sebagai pengendali utama.

Sunif berkata, latihan itu turut diselia pihak pengurusan dan pekerja LTAKK terutamanya dari AFRS sendiri selain kira-kira 150 sukarelawan dari Kolej Sains kesihatan Bersekutu Kota Kinabalu dan 40 sukarelawan dari Malaysia Airport Sdn Bhd (MASB).

Advertisement