Anda di sini

RAM lihat Pokemon Go katalis berpotensi untuk penggunaan data mudah alih

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pokemon Go yang baharu diperkenalkan berpotensi melonjakkan penggunaan data mudah alih dan kebergantungan data oleh pengguna dalam negara ini, kata RAM Rating Services Bhd.

RAM dalam satu kenyataan kelmarin, berkata perkara itu dilihat berdasarkan pemerhatian agensi penarafan itu ke atas daya tarikan aplikasi telefon pintar itu dalam pasaran Asia.

“Trend ini, jika berterusan, mungkin akan menyaksikan peningkatan dalam pengambilan data di kalangan pengguna tegar permainan itu, dan mungkin memerlukan pengguna untuk menaik taraf pelan data mereka dan/atau membayar untuk pakej data tambahan.

“Kami menganggarkan, setiap jam permainan ini menelan data sebanyak 10 megabait dan sebilangan kecil peminat tegar menghabiskan masa kira-kira lima jam sehari, hasil industri mungkin mencatatkan peningkatan di antara 0.5 hingga 1 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang, jika trend ini berterusan,” katanya.

Jika ‘demam’ Pokemon Go ini bersifat sementara, ia sebenarnya telah menyediakan satu landasan bagi aplikasi dalam talian yang bergantung dengan penggunaan data untuk menjadi arus perdana di masa akan datang.

Katanya, syarikat telekomunikasi telah mengambil peluang dengan menambah kelebihan pada pakej data mereka seperti rebat tunai dan hadiah dalam permainan, malah ada yang telah membentuk kerjasama dengan GrabCar dan Uber untuk menarik pelanggan mudah alih.

“Walaupun penggunaan data aplikasi Pokemon Go dijangka tidak menyebabkan lonjakan data yang besar dalam rangkaian syarikat-syarikat telekomunikasi, ia tetap memberikan cabaran kepada arkitek rangkaian pada masa depan khususnya membabitkan penggunaan jumlah data yang besar secara serentak dalam satu-satu lokasi,” katanya.

Pokemon Go merupakan sejenis permainan maya berasaskan lokasi realiti.

Aplikasi ini telah dilancarkan pada 6 Julai 2016 di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, dan sekarang, boleh didapati di lebih daripada 50 negara di seluruh dunia. — Bernama

Advertisement