
TAHNIAH: Abraham menerima pelantikan daripada David (kiri) sambil diperhatikan Hassan.
TENOM: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tenom menyambut baik komitmen kerajaan mengekalkan pemberian subsidi padi kepada para petani di negeri ini.
Pengerusi PPK Tenom OKK David Jani berkata pemberian subsidi merupakan insentif kerajaan untuk para petani meningkatkan daya pengeluaran, khususnya padi bagi mengurangkan kebergantungan import beras.
“Dengan pemberian subsidi, para petani diharapkan dapat melipatgandakan usaha bagi menyumbang secara positif penghasilan beras negara bagi keperluan dalam negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis ringkas penyerahan pelantikan juruaudit dalam PPK Tenom kepada Abraham Samih.
Pelantikan Abraham yang merupakan ketua Unit Peladang Kallang dipersetujui dalam mesyuarat agung PPK Tenom ke-38, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Tenom Abdul Hassan Jumput.
Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah minggu ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dipetik sebagai berkata pihaknya meneruskan pemberian subsidi bagi memastikan usaha penanaman padi dapat diteruskan.