Anda di sini

‘Perfect Livin’ 2016’ kini kembali lagi temui penggemar di BCCK

Advertisement
 Jason (tengah) bersama dua model kenderaan SUV MU-X untuk dimenangi, justeru jangan ketinggalan untuk merebut peluang sepanjang berlangsungnya Pameran Kediaman dan Gaya Hidup ‘Perfect Livin’ 2016’ di BCCK bermula sekarang sehingga Ahad ini.

JANGAN KETINGGALAN: Jason (tengah) bersama dua model kenderaan SUV MU-X untuk dimenangi, justeru jangan ketinggalan untuk merebut peluang sepanjang berlangsungnya Pameran Kediaman dan Gaya Hidup ‘Perfect Livin’ 2016’ di BCCK bermula sekarang sehingga Ahad ini.

KUCHING: Pameran Kediaman dan Gaya Hidup ‘Perfect Livin’ 2016’ kini kembali menemui penggemar rekaan barangan rumah yang menarik dan menakjubkan bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), bagi siri kedua tahun ini.

Pameran selama empat hari bermula semalam (11 Ogos) sehingga 14 Ogos (Ahad) iaitu dari 10 pagi sehingga 9 malam itu merupakan penganjuran bagi tahun keempat bertepatan dengan respons yang amat menggalakkan daripada masyarakat di bandar raya ini khususnya.

Pengarah i.Star Ideas Factory Sdn Bhd Jason Yap berkata, acara gilang-gemilang itu merupakan sumber serta pusat sehenti yang lengkap bagi memenuhi permintaan gaya serta cita rasa kediaman yang menjadi impian setiap individu.

“Perfect Livin’ ini merupakan platform kepada orang ramai untuk memiliki barangan kediaman rumah di bawah satu bumbung dengan tawaran harga serta produk hebat yang menanti pengunjung.

“Selain membeli-belah pada pameran ini, pengunjung turut sama berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah menarik yang disediakan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Jelasnya lagi, selaku penganjur, pihaknya memberi keutamaan dalam menawarkan hadiah sebanyak yang mungkin kepada pengunjung dan pelanggan bertuah mereka.

Pada masa sama, katanya Perfect Livin’ 2016 juga menjanjikan pengalaman beli-belah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Anda (pelanggan) hanya perlu membuat pembelian produk yang ditawarkan di Perfect Livin’ berjumlah minimum RM500, maka anda layak dan berpeluang untuk menyertai peraduan yang menawarkan hadiah utama berupa Kenderaan Utiliti Sport (SUV) MU-X dari Isuzu yang bernilai RM180,000 yang sememangnya dinantikan,” tambahnya.

Beliau juga menawarkan hadiah pembukaan kepada pengunjung yang berkunjung ke pameran itu berupa botol minuman berwarna-warni yang pastinya menjadi rebutan sesiapa sahaja. Bagaimanapun botol minuman ini terhad kepada 1,000 pengunjung pertama pameran pada setiap hari.

Sementara itu, Jason turut mendedahkan pemenang bagi dua pacuan empat roda Isuzu iaitu Isuzu D-Max Double Cap V-Cross Safari dan Isuzu D-Max Double Cap yang ditawarkan pada siri pameran yang berlangsung April lalu akan diumumkan pada Oktober depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila peraduan mewarna juga diadakan bagi memeriahkan lagi penganjuran pameran kediaman itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jason turut memberitahu, pada Pameran Kediaman dan Gaya Hidup ‘Perfect Livin’ 2016’ kali ini, seramai 150 pempamer menyertai pameran dengan hampir 300 pameran yang disediakan kepada pengunjung.

“Pada Perfect Livin’ April lalu, kita menerima hampir 40,000 pengunjung yang datang dan pada kali ini, kita juga menyasarkan kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung untuk merebut tawaran hebat yang kami bawakan kali ini,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh melayari pautan di sesawang www.perfectlivin.com atau layari laman Facebook dan Twitter Perfect Livin’16.

Advertisement