Anda di sini

Anggota CIMA peroleh RM186,503 setahun

Tunjukkan betapa penting kemahiran mereka membantu peniaga jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) mendedahkan bahawa purata pendapatan tahunan anggotanya yang layak mencecah sehingga RM186,503 dalam 2016.

Persatuan itu juga menyatakan bahawa para pelajar yang sedang dalam proses mendapat kelayakan CIMA juga menerima gaji tahunan purata sebanyak RM81,220 atau RM6,768 sebulan.

Ini adalah 75 peratus lebih banyak daripada purata kebangsaan di kalangan mereka yang mempunyai kelulusan tertiari.

Pendidikan tertiari merangkumi pengajian pascamenengah sehingga ke institusi pengajian tinggi, serta termasuk pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Ketua CIMA Asia Tenggara, Shavonne Sim berkata akauntan pengurusan dibayar lebih daripada purata individu yang berpendidikan tertiari, membuktikan nilai mereka kepada perniagaan.

“Ini mencerminkan betapa pentingnya kemahiran dan keupayaan mereka untuk membantu dalam memacu keputusan-keputusan yang baik dalam jangka pendek, sederhana dan panjang, serta menolong pemimpin-pemimpin perniagaan menjana nilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kajian juga menunjukkan anggota dan pelajar CIMA di Malaysia adalah positif dengan perkembangan gaji mereka, dengan 98 peratus dan 99 peratus, masing-masing menjangkakan peningkatan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Secara purata, para anggota mengharapkan gaji mereka meningkat sebanyak 7.2 peratus, manakala para pelajar lebih yakin dengan jangkaan peningkatan purata sebanyak 11 peratus.

Di atas asas gaji ini, anggota CIMA di Malaysia menjangkakan bonus (79 peratus) secara purata daripada 13.7 peratus gaji tahunan mereka, walaupun 36 peratus menjangkakan bonus sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, golongan pelajar yang menerima bonus (76 peratus) menjangkakan secara purata sebanyak 12 peratus daripada gaji tahunan mereka sebagai bonus pada 2016. — Bernama