Anda di sini

Tourism Malaysia sasar RM5 juta jualan pakej domestik pada MATTA Fair September ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia menyasar memperoleh jualan sebanyak RM5 juta bagi pakej domestik pada ‘MATTA Fair’, pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bulan depan.

Pengarah Bahagian Promosi Domestik Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata pameran itu berjaya mengaut RM5.5 juta nilai pakej domestik pada edisi September lepas.

“Kami menyasarkan jualan lebih rendah tahun ini memandangkan akan terdapat hanya 90 pengusaha pelancongan mengambil bahagian di bawah naungan kami berbanding 110 pada tahun lepas.

“Konsep kami pada tahun ini ialah ‘alam semula jadi’ dan kami akan menduduki 60 ruang pameran,” katanya pada sidang akhbar Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng berkata acara itu dijangka menjana lebih RM200 juta dalam jumlah jualan dalam segmen domestik, serantau dan antarabangsa.

“Semasa edisi Mac lalu, kami memperoleh kira-kira RM200 juta dalam jumlah jualan dan kami menjangkakan tidak kurang daripada itu untuk acara September, “ kata beliau.

Phua berkata tahun lepas, jumlah pelancong domestik meningkat sebanyak 4.5 peratus manakala perbelanjaan mereka berkembang 9.2 peratus berbanding dengan 2014.

“MATTA Fair pada bulan depan akan terus menyumbang dan menyokong pertumbuhan pelancongan domestik dan ketibaan pelancong di negara kita,” katanya.

Phua berkata sebanyak 382 organisasi, ejen pelancongan dan pengendali hospitaliti termasuk dari Jepun, Korea Selatan dan Indonesia, telah mengesahkan penyertaan dalam acara tiga hari itu.

Pameran dua kali setahun itu dijadualkan berlangsung mulai 2 hingga 4 September di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini. — Bernama

Advertisement