Anda di sini

Rangka undang-undang hak dan perlindungan warga tua

Advertisement

Majikan perlu cari cara manfaatkan potensi warga berusia

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa merangka undang-undang yang memberi penekanan kepada hak dan perlindungan warga tua, termasuk dasar pengambilan semula bekerja, serta penghapusan diskriminasi umur.

“Kita juga perlu mencari jalan untuk menggalakkan mereka (pekerja bersara) untuk kembali bekerja tanpa perlu mereka mengorbankan struktur keluarga, yang mereka bangunkan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Jaminan Sosial Antarabangsa 2016 di sini, semalam.

Tunku Alizakri juga berkata sektor awam dan swasta perlu mencari cara untuk memanfaatkan potensi penduduk berusia dari segi pekerjaan dan aktiviti ekonomi.

“Sektor swasta perlu mewujudkan prasarana untuk menyokong peluang perniagaan berkaitan dengan penduduk berusia, seperti perumahan untuk warga tua, program kesihatan dan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penjagaan rumah,” katanya.

Beliau berkata ‘Silver Economy’ Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), projek yang menumpukan kepada membangunkan, mempromosikan dan menyebarkan strategi untuk berdepan cabaran baharu berkaitan dengan penduduk berusia, menganggarkan industri berkaitan dengannya bernilai AS$3 trilion tahun depan.

Lima puluh dua peratus ketua perniagaan dalam negara anggota kerjasama itu menjangkakan industri berkaitan dengan penduduk berusia melonjak dari 2020 hingga 2025.

Persidangan dua hari itu bertemakan, ‘Active Ageing: Live Long and Prosper’, bermula semalam dianjurkan bersama oleh KWSP untuk membincangkan proses meningkat tua yang sihat dan melahirkan masyarakat mesra usia, serta menggalakkan pembabitan warga tua dalam landskap ekonomi dan sosial. — Bernama

Advertisement