Anda di sini

Harga minyak mentah yang rendah dijangka berlarutan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah berkemungkinan dijual pada AS$50 setong pada 2020 dan AS$60 pada 2030 disebabkan bekalan yang tinggi dalam pasaran, kata Bain & Company, firma perundingan pengurusan beribu pejabat di Boston.

“Harga minyak yang rendah kini menjadi perkara biasa. Yang menggembirakan, besar kemungkinan, harga minyak mentah boleh meningkat sehingga AS$80 setong dalam tempoh itu.

“Harga minyak mentah akan mengalami tempoh harga rendah yang berlarutan disebabkan dinamik bekalan dan pemintaan,” Jorge Leis, Rakan Bain & Company kepada pemberita pada persidangan meja bulat tentang ‘Ketidaktentuan dalam Pasaran Minyak dan Gas Global – Apa yang dijangkakan hingga 2020’, di sini kelmarin.

Leis berkata pemulihan harga minyak mentah bergantung kepada permintaan.

Beliau menambah bekalan minyak yang tinggi diperoleh daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), terutama negara Teluk dan Rusia, ekoran kos pengeluaran yang rendah dan pemintaan yang menyusut sehingga 2020.

Beliau berkata gas asli cecair juga akan mengalami tempoh pengimbangan semula sehingga 2022, saling berkait dengan sumber tenaga lain seperti kuasa nuklear.

“Import LNG Jepun dan Korea Selatan menguncup ekoran peningkatan jumlah loji janakuasa nuklear,” kata Leis.

Dalam unjuran Bain bagi 2020, firma itu berkata pengeluaran OPEC antara 26 juta dan 40 juta tong sehari, dengan kemungkinan antara 34 juta dan 35 juta berbanding pengeluaran semasa sebanyak 31 juta tong sehari.

Unjuran itu menunjukkan peningkatan akan mengimbangi kelok bekalan dan memberi tekanan ekonomi ke atas sumber minyak berkos tinggi terutama dari laut dalam.

Sementara itu, nota firma itu baru-baru ini menyebut mengenai pertumbuhan China yang perlahan dan ekonomi Eropah yang suram dijangkakan terus menjejaskan penggunaan dalam jangka masa pendek dan sederhana.

Ketua Amalan Minyak dan Gas Asia Tenggara Bain & Company Dale Hardcastle berkata persediaan, ketangkasan dan fleksibiliti akan menjadi sumber utama kelebihan daya saing dalam persekitaran semasa.

Ditanya sama ada langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengurangkan modal perbelanjaan (capex) dalam keadaan harga minyak yang rendah merupakan langkah yang baik, Hardcastle berkata: “Saya tidak fikir apa yang mereka lakukan berbeza dengan apa yang kita lihat di syarikat lain.”

Syarikat minyak negara itu merancang untuk mengurangkan perbelanjaan modal dan operasi (opex) bagi 2016 sebanyak antara RM15 bilion dan RM20 bilion disebabkan oleh harga minyak mentah yang rendah.

Pengurangan ini akan menjadi sebahagian daripada langkah mengurangkan capex dan opex sebanyak RM50 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang. — Bernama

Advertisement