Anda di sini

Dua lelaki ditahan kerana miliki organ beruang madu

Advertisement
 Lapan kaki beruang turut dirampas semasa penahanan suspek.

AKTIVITI HARAM: Lapan kaki beruang turut dirampas semasa penahanan suspek.

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan yang berasal dari pedalaman Sabah ditahan sepasukan renjer Jabatan Hidupan Liar selepas didapati memiliki organ beruang madu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah William Baya berkata, kedua-dua suspek berumur 30 tahun terbabit ditahan selepas memiliki lapan kaki beruang, dua pundi hempedu dan lapan gigi taring yang dipercayai diambil daripada dua ekor beruang madu.

Katanya, kesemua suspek ditahan Unit Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar selepas dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Aru untuk menjalankan proses jual beli barangan berkenaan.

“Bertindak daripada maklumat yang diterima daripada orang awam, kita menggegaskan sepasukan Unit Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Kita menahan dua suspek yang baharu turun daripada kenderaan dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek memiliki beberapa barangan termasuk lapan kaki beruang, dua pundi hempedu dan lapan gigi taring dipercayai organ beruang madu.

“Unit Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar kemudiannya merampas kesemua barangan yang dinyatakan dan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max serta telefon bimbit yang digunakan oleh suspek turut dirampas semasa penahanan itu,” katanya.

William berkata, kesemua suspek kini direman di Balai Polis Daerah Penampang untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, beruang madu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

“Individu yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun penjara dan denda sebanyak RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Advertisement