Anda di sini

Kuasai pemasaran mudah alih bagi pelanggan Gen Y

Advertisement

PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa syarikat Malaysia menguasai pemasaran mudah alih bagi pelanggan Gen Y (generasi muda) yang membentuk 40 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Presidennya Tan Sri Saw Choo Boon berkata ketika ini, Gen Y menyumbang 62 peratus daripada tenaga kerja Malaysia, manakala satu pertiga rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar sebagai satu-satunya peranti berinternet mereka.

“Dengan kata lain, syarikat-syarikat yang melibatkan pengguna Gen Y menerusi mudah alih tentu sekali satu langkah di hadapan pesaing mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Pemasaran dan Penjenamaan FMM 2016 di sini, semalam.

Gen Y ialah penduduk yang lahir antara 1980 dan 2000 yang kini berusia antara 15 dan 35.

Generasi tersebut yang juga dikenali sebagai ‘millennials’, dibentuk oleh teknologi dan dianggap sebagai celik telefon pintar, komputer riba dan Internet.

Saw berkata terdapat 34 juta pelanggan mudah alih dan 17.5 juta pengguna Internet di negara ini yang secara puratanya menghabiskan 3.8 jam sehari dengan peranti mudah alih mereka.

“Oleh kerana pengguna mudah alih di Malaysia semakin berkembang, penjenamaan mudah alih merupakan satu daripada kaedah ideal dan platform paling murah untuk menjual satu-satu produk,” katanya.

Beliau berkata syarikat yang aktif dalam pemasaran mudah alih akan mendapat manfaat bukan hanya daripada perniagaan baharu dipertingkatkan tetapi juga pengurangan kos jualan.

Sementara itu, Saw berkata acara semalam menarik 108 kakitangan pemasaran daripada pelbagai industri terutamanya daripada syarikat barangan cepat laris dan penjagaan peribadi.

Persidangan itu bertujuan menyediakan platform bagi syarikat yang berminat melaksanakan strategi pemasaran mudah alih untuk mencapai pengguna sasaran mereka, katanya. — Bernama

 

 

Advertisement