Anda di sini

Dahan pokok jatuh tembusi cermin kereta, empat sekeluarga selamat

Advertisement

 Dahan pokok yang jatuh akibat dilanggar lori menembusi cermin hadapan kereta Lela.

BERNASIB BAIK: Dahan pokok yang jatuh akibat dilanggar lori menembusi cermin hadapan kereta Lela.

KENINGAU: Sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang dari Tenom ke Keningau terselamat walaupun tiga daripada mereka cedera, selepas dahan pokok terjatuh menembusi cermin hadapan kereta mereka, pagi kelmarin.

Mangsa, Lela Tongkooh, 36, berkata dia dan isteri, Mellisa Saffrih, 31, bersama bayi lelaki berusia empat bulan dan seorang lagi anak lelaki berumur tujuh tahun sedang dalam perjalanan pulang dari Tenom ke Keningau, kira-kira jam 11.30 pagi apabila kejadian itu berlaku.

Katanya, sebelum kejadian, sebuah lori membawa muatan jentera Hitaci dari arah Keningau ke Tenom melanggar dahan pokok berdekatan jalan Kampung Kuaran-Keningau, mengakibatkan dahan pokok itu jatuh dan menembusi cermin depan keretanya.

Katanya, dia tidak sempat mengelak dahan berkenaan kerana dahan itu jatuh secara tiba-tiba.

Beliau berkata mereka sekeluarga terkejut dan trauma dengan kejadian itu.

Katanya, serpihan cermin yang pecah mengakibatkan seluruh badan bayinya luka, manakala isterinya luka di kedua-dua tangan dan kakinya sementara anak lelaki yang duduk di bahagian belakang luka pada kaki kanan.

Jelas Lela, selepas kejadian itu, dia bergegas membawa mereka ke Hospital Keningau untuk rawatan seterusnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Keningau.

Sehubungan itu, beliau berharap ada tindakan wajar diambil oleh pihak berwajib bagi mengelak kejadian sedemikian berulang.

Advertisement