Anda di sini

Rayani Air perlu mohon lesen baharu untuk beroperasi

Advertisement

Syarikat juga diminta kemukakan strategi, cari rakan kongsi

 Ab Aziz (tengah) melihat model kapal yang dipamerkan di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

TERPEGUN: Ab Aziz (tengah) melihat model kapal yang dipamerkan di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Rayani Air perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) jika ia berhasrat memulakan semula operasinya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, syarikat itu juga perlu mengemukakan strategi perniagaan yang baharu selain mendapatkan rakan kongsi yang mempunyai dana mencukupi untuk menjalankan perniagaan.

“Sebelum ini mereka (Rayani Air) telah pun menyatakan keinginan secara lisan kepada kerajaan untuk memulakan semula operasi mereka dan mahu memperbaharui lesen mereka yang telah dibatalkan.

“Namun kerajaan menerusi DCA dan MAVCOM tidak dapat menimbang permintaan mereka kerana beberapa perkara dan menyarankan mereka membuat permohonan lesen baharu jika ingin meneruskan operasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Simposium Sistem Trafik Kapal Antarabangsa (VTS) ke-13 di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air Ravi Alagendrran yang ditulisnya di akaun Facebooknya kelmarin, yang menyatakan bahawa syarikat itu sedang berusaha keras agar DCA dan MAVCOM memberikan peluang kedua untuk beroperasi.

Ab Aziz berkata, kerajaan tidak ada halangan ke atas mana-mana pihak untuk menjalankan syarikat penerbangan sebaliknya ia amatlah digalakkan bagi memperkasa industri pelancongan negara selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, ia juga adalah dasar kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak syarikat penerbangan bagi menyediakan perkhidmatan secukupnya untuk membawa masuk kedatangan pelancong ke negara ini.

“Sekarang ini banyak permintaan untuk membawa pelancong ke negara ini terutama dari negara China dan pesawat-pesawat tidak mencukupi.

“Jadi dengan perkembangan industri pelancongan ini, memang sewajarnya kita dapat menyediakan lebih banyak syarikat peberbangan,” katanya.

Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

MAVCOM pula turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itu melanggar syarat yang ditetapkan di dalam ASL tersebut serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.

Rayani Air memulakan operasi Disember tahun lalu. — Bernama

Advertisement