Anda di sini

Ambank harap pembiayaan CGC cecah RM1 bilion dalam tempoh enam bulan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ambank Group berharap kerjasamanya dengan Credit Growth Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mencapai RM1 bilion dalam tempoh enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, peringkat pertama berjumlah RM300 juta yang dilancar tahun lepas dilanggan sepenuhnya dalam setahun, menyebabkan tambahan RM300 juta dilancar hari ini.

“Dalam tempoh enam bulan akan datang, kami berharap akan meningkatkan pinjaman kepada RM1 bilion,” katanya kepada pemberita di majlis menandatangani perjanjian portfolio di antara Ambank Islamic dan CGC di sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani CEO Ambank Islamic, Eqhwan Mokhzanee Muhammad dan Presiden dan CEO CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak, disaksikan Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt dan Sulaiman.

Sulaiman berkata, Ambank berminat meneruskan kerjasama dengan CGC bagi membantu PKS dengan pembiayaan memandangkan sumbangan besar mereka kepada ekonomi Malaysia.

“Ambank mengakui yang PKS adalah penggerak ekonomi yang penting dan telah mengeluarkan kira-kira RM12.1 bilion pinjaman kepada PKS di Malaysia setakat ini.

“CGC juga merancang mengurangkan yuran kepada pelanggan kami agar kami boleh mengembangkan perniagaan ini pada masa depan,” tambahnya.

Sementara itu, Ambank juga melancar dua pakej pembiayaan, Ambank BizSolutions Kontrak dan Ambank BizSolutions 2Trad3.

Ambank BizSolutions Kontrak menawarkan kemudahan pembiayaan kontrak yang mana dikhaskan untuk projek tertentu, berbeza mengikut jenis kontrak seperti pembinaan, bekalan dan perkhidmatan.

Ambank BizSolutions 2Trad3 pula memberikan bantuan pembiayaan bagi membiayai import komponen kenderaan dan tranksaksi eksport untuk industri makanan. — Bernama

Advertisement