Anda di sini

Utusan Borneo Sabah ungguli tiga hadiah utama Anugerah Kewartawanan Shell Kinabalu 2016

Advertisement
 Lichong (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama wartawan-wartawan Utusan Borneo.

TAHNIAH: Lichong (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama wartawan-wartawan Utusan Borneo.

KOTA KINABALU: Utusan Borneo berjaya mengungguli tiga hadiah utama menerusi tiga kategori Bahasa Melayu Anugerah Kewartawanan Shell Kinabalu 2016 yang diadakan pada malam Jumaat lalu.

Ketua Editor Utusan Borneo Lichong Angkui berjaya memenangi kategori Anugerah Kewartawanan Bahasa Melayu, sementara Siti Aisyah Narudin memenangi kategori sukan dan Yusop Teppo kategori jurugambar.

Utusan Borneo turut memenangi merit menerusi Anugerah Kewartawanan kategori sukan yang dimenangi oleh Vitalis G. Bingkasan, Laporan Berita oleh Suraidah Roslan dan S Connie Pearl Suil, Anugerah Kewartawanan kategori Alam Sekitar yang turut dimenangi oleh Mariayati Mursidi dan Yusop Teppo.

Manakala The Borneo Post berjaya memenangi satu hadiah utama dengan Lester Joseph Bingkasan berjaya memenangi kategori Anugerah Kewartawanan kategori sukan dan Mariah Doksil berjaya mendapat dua merit menerusi ketegori laporan hiburan serta alam sekitar.

Arfandi Jaafar turut berjaya mendapat merit menerusi kategori sukan dan Aniq Azraei Mat Salleh juga mendapat dua merit dari kategori jurugambar sukan dan jurugambar laporan berita.

Sementara itu, See Hua Daily News turut unggul dengan memenangi kategori-kategori utama menerusi kategori anugerah Gambar Terbaik, Laporan Berita, Hiburan dan Jurugambar.

Secara keseluruhan, Kumpulan See Hua berjaya memenangi sebanyak lapan hadiah kategori utama dalam Anugerah Kewartawanan Shell Kinabalu 2016.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman, Pengerusi Shell Malaysia Datuk Lain Lo, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Francis Fahir dan Penasihat SJA Datuk Joniston Bangkuai.

Pada majlis itu, Musa berkata pengamal media memainkan peranan penting dalam sesebuah masyarakat.

“Wartawan mampu mempengaruhi pemikiran rakyat melalui cara laporan, tindakan mereka, bahkan menukar landskap sosial dan politik sesebuah negara.

“Oleh itu, wartawan perlu membuat laporan dengan bijak untuk kebaikan masyarakat, laporan yang salah adalah tidak bertanggungjawab dan boleh membawa kepada kemudaratan,” katanya.

Menurutnya, masyarakat amat bergantung kepada peranan wartawan untuk laporan yang benar dan tepat.

Oleh itu katanya, laporan yang dibuat perlulah berdasarkan fakta dan bukan spekulasi kerana keadaan itu akan memberikan gambaran yang salah selain menyebabkan kebimbangan atau panik dalam kalangan masyarakat.

“Media pada masa kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan laporan mereka adalah tepat dan terperinci.

“Saya gembira kerana media di Sabah amat bertanggungjawab dalam mengetengahkan berita yang signifikan dan penting, dengan menulis mengenai pembangunan, kemajuan sosioekonomi dan juga melaporkan keperluan serta rungutan rakyat,” katanya.

Advertisement