Anda di sini

Sabah tuan rumah JOTA peringkat antarabangsa 14 Oktober depan

Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah buat julung kalinya terpilih menjadi tuan rumah Jambori Udara Malaysia (JOTA) mewakili semua negeri bagi peringkat antarabangsa pada 14 Oktober depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah Datuk Dr Awang Zaini Suntim berkata, perhimpunan besar yang melibatkan Radio Amatur itu akan berlangsung berpusat di bandar raya ini.

“Kita sasarkan lebih lima ribu peserta akan terlibat dan 10 hingga 12 stesen radio amatur akan dibuka di setiap daerah selama tiga hari berturut-turut memandangkan kebanyakan ahli pengakap kita sudah memiliki lesen mengendali radio amatur.

“Di samping itu, pelbagai aktiviti turut diadakan dan kita juga akan menggunakan pengiktirafan daripada kerajaan dan kementerian di peringkat antarabangsa untuk memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi peringkat sekolah mahupun pegawai kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan JOTA Malaysia Kelima Peringkat Negeri Sabah 2016, di sini kelmarin.

Selain itu Awang berkata, sambutan JOTA Malaysia yang diadakan sehari itu (kelmarin) disambut serentak di seluruh negeri yang disertai oleh pelbagai peringkat umur ahli pengakap, unit beruniform lain dan pengendali radio amatur.

Katanya, ia bertujuan memberi peluang kepada semua pengakap di setiap stesen seluruh negeri untuk berkomunikasi menggunakan alat komunikasi radio amatur.

“Kita juga membimbing mereka mengenai ruang yang ada pada radio amatur serta pengendalian yang betul supaya mereka tidak menyalahi undang-undang antarabangsa bermula peringkat awal hinggalah akhir.

“Justeru, ia juga dapat membentuk rangkaian persahabatan yang lebih erat seterusnya meluaskan skop ilmu pengetahuan komunikasi buat semua peserta untuk mereka sampaikan kepada rakan yang lain di pelbagai peringkat,” katanya.

Terdahulu, seramai 95 peserta pengakap sekolah rendah dan menengah serta 44 petugas terdiri pemimpin dan Kelab Radio Amatur Borneo (BARC) menyertai perhimpunan kali kelima itu.

Perhimpunan itu adalah anjuran kerjasama antara Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah (PPMCS) yang dikelola oleh Kelab Radio Amatur Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah dan BARC.

Hadir sama Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Adult In Scouting) Jamaludin @ Jamal Jinal dan Penolong Pesuruhjaya Negeri Unit Publisiti dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk JOTA kali kelima Muhammad Firdaus Joseph Abdullah.

Advertisement