Anda di sini

Rakaman CCTV selamatkan premis daripada dirompak

Advertisement

KOTA KINABALU: Hasil rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) berjaya menyelamatkan sebuah premis daripada dipecah masuk oleh dua lelaki tidak dikenali selepas disedari pemiliknya di sini Khamis lalu.

Kejadian berkenaan berlaku apabila seorang pemilik premis yang berumur 40 tahun terjaga selepas mendengar bunyi bising di luar kedainya di Pusat Komersial Bunga Raya di Luyang kira-kira jam 2.45 pagi pada 4 Ogos lalu.

Sebaik melihat rakaman CCTV kedainya, pemilik premis terbabit melihat dua lelaki tidak dikenali sedang berusaha merosakkan pintu gril untuk memasuki premis berkenaan.

Pemilik premis berkenaan kemudiannya segera menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Mohd Azhar Hamin berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan anggota peronda digegaskan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Suspek yang sedang berusaha untuk memecahkan pintu kedai terbabit bertindak melarikan diri sebaik melihat anggota polis tiba di lokasi kejadian.

“Tindakan pantas anggota polis berjaya menahan salah seorang suspek, bagaimanapun suspek kedua berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX 5 dan beg yang mengandungi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

“Polis kini juga sedang mengesan suspek yang melarikan diri dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan memecah rumah,” katanya.

Advertisement