Anda di sini

Kes culik juragan bagai ‘ada yang tidak kena’

Advertisement
 Abd Rashid menyifatkan kes yang didakwa sebagai KFR terbaharu melibatkan seorang juragan bot pukat tunda warga Indonesia, sebagai ‘ada sesuatu yang tidak kena’.

MERAGUKAN: Abd Rashid menyifatkan kes yang didakwa sebagai KFR terbaharu melibatkan seorang juragan bot pukat tunda warga Indonesia, sebagai ‘ada sesuatu yang tidak kena’.

Keterangan dua rakan mangsa yang dikatakan ‘dibebaskan’ perlu diteliti dengan rapi: Polis

TAWAU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun menyifatkan kronologi dan butiran kes seorang juragan warga Indonesia yang dikatakan diculik, sebagai ‘ada sesuatu yang tidak kena’.

Berdasarkan trend kes-kes terdahulu, kesangsian juga timbul berkaitan lokasi sebenar kejadian dan nilai wang tebusan berjumlah RM10, 000 yang kononnya dituntut daripada majikan.

Abd Rashid berkata, perincian petunjuk kes dan keterangan dua rakan mangsa masih diperlukan sebelum pengesahan berhubung status sebenar jika kes itu positif sebagai kes culik untuk tebusan (KFR).

Mengikut laporan awal, Herman Mangga, 30, dikatakan diculik empat lelaki bersenjata M16 yang menaiki bot pam di perairan Kinabatangan kira-kira jam 4 petang, 3 Julai lepas.

Dua rakannya, Arianto Basruddin, 22, (Indonesia) dan Muhamadin Duratin, 26, (tempatan) yang dikatakan turut dibawa bersama Herman ke sebuah pulau di Filipina pula, dilepaskan.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan menaiki sebuah bot pukat tunda bernombor pendaftaran SN6599/4/F yang berdaftar di Sandakan dan mula keluar ke laut pada 31 Julai lepas.

“Keterangan dua rakan mangsa yang dikatakan ‘dilepaskan’ dan diminta menaiki bot pukat tunda mereka untuk kembali ke perairan negara, perlu diteliti rapi,” katanya, di sini, kelmarin.

Beliau juga mengesahkan wujud kesangsian apabila kes itu juga lewat dilaporkan kepada polis iaitu pada 5 Ogos, sedangkan kejadian KFR itu dikatakan berlaku pada 3 Ogos.

Ditanya loghat kumpulan penculik bersenjata yang dikatakan menculik Herman pula, beliau berkata kumpulan itu menggunakan bahasa Malaysia tetapi bukannya loghat tempatan.

“Siasatan terperinci penting kerana kita perlu mengesahkan terlebih dahulu kesahihan keterangan kedua-dua lelaki itu sama ada mereka bercakap benar ataupun berselindung.

“Berdasarkan keterangan awal dua rakan mangsa, semua alat komunikasi di bot pukat tunda itu termasuk telefon bimbit mereka dirampas oleh kumpulan penculik terlibat.

“Kedua-dua lelaki itu berkata (dalam soal siasat) kumpulan penculik melepaskan mereka bertujuan untuk menyampaikan tuntutan wang tebusan kepada pihak majikan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit diselamatkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di perairan Sabah dan kini mereka berdua ditahan polis untuk membantu siasatan.

“Kita juga meminta kepada semua pemilik kapal atau bot tempatan supaya memasang alat Automatic Identification System (AIS) untuk memudahkan kita mengesan mereka, jika perlu.

“Alat ini perlu disediakan kerana dalam kes (KFR) terdahulu, ada kapal yang mempunyai AIS tetapi rosak menyebabkan kita sukar mengesan keberadaan mereka,” katanya.

Advertisement