Anda di sini

MITRAF 11 beri peluang UMK jana pendapatan

Advertisement

Kunjungi MITRAF 11 untuk nikmati pelbagai produk

// Oleh Eric Edward //

 Para usahawan UMK serta pegawai dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri bergambar bersama.

KUNJUNGI MITRAF 11: Para usahawan UMK serta pegawai dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri bergambar bersama.

MIRI: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dengan kerjasama Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) kini sedang mengetengahkan pelbagai produk makanan semasa berlangsungnya Pesta Usahawan Miri ke-11 (MITRAF 11) anjuran See Hua Marketing Sdn Bhd cawangan Miri bermula 4 hingga 7 Ogos 2016 bertempat di Kompleks Beli-Belah Bintang Megamall, sini.

Kali ini sebanyak 14 usahawan kecil mengambil bahagian yang menjual pelbagai produk makanan hasil usaha usahawan seperti kuh-muih, bahulu, kuih sepit, kek lapis, kuih cincin, kerepek ubi, keropok ikan, biskut kacang dan sebagainya.

Selain makanan, hasil kraf tangan seperti kalung manik, gelang dan bakul juga dipamerkan di situ.

Usahawan Faridah binti Latif juga tidak ketinggalan memperkenalkan juadah istimewa beliau seperti hati buyah, popiah sambal, mi kolok dan nasi lemak.

Beliau, yang juga mengusahakan sebuah gerai di pasar malam SABERKAS berkata pesta usahawan ini sedikit sebanyak dapat memberi peluang menjana pendapatan.

“Sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan dan ramai juga pelanggan daripada Brunei yang membuat tempahan,” katanya dalam temu bual kepada Utusan Borneo.

Seorang peserta Masni binti Ebi turut memperkenalkan ‘Coconut Shake’ beliau, iaitu air dan isi kelapa bersama ais hancur kepada orang ramai.

Selain itu beliau juga menjual keropok ikan, kerepek ubi dan kerepek pisang.

Dan selain ‘Coconut Shake,’ beliau juga menawarkan ‘Cappuccino Shake,’ ‘Peppermint Shake’ dan ‘Hazelnut Shake’.

Usahawan Noraisah Ahmad yang menawarkan muruku, iaitu makanan yang sinonim dengan masyarakat India yang digemari oleh pelagai masyarakat di Malaysia, mengakui bahawa sambutan kali ini amat menggalakkan daripada pelanggan tempatan mahupun Brunei.

“Semalam akak mampu menjual 40 bungkus muruku,” katanya.

Selain muruku, beliau juga menjual kerepek ubi hasil buatan tangannya.

Menurut salah seorang jurucakap dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri, objektif UMK turut serta dalam MITRAF 11 adalah untuk memperkenalkan produk keluaran golongan sasar.

Ini kerana para UMK yang menerima bantuan geran pelancaran dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) berpotensi untuk menghasilkan pelbagai produk seterusnya dapat meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Tambahan pula, dengan adanya pesta usahawan empat hari ini, ia memberi ruang dan peluang kepada para pengusaha UMK untuk bertemu dengan para pelanggan baharu serta mengeratkan jaringan perniagaan sesama para peserta UMK.

Gerai-gerai UMK terletak di aras tiga kompleks beli-belah Bintang Megamall.

Advertisement