Anda di sini

Zakat disalurkan secara telus

Advertisement
 Suhaili (kiri) bergambar kenangan bersama Juhar.

TELUS: Suhaili (kiri) bergambar kenangan bersama Juhar.

MUIS nafi isu birokrasi dan pengagihan tidak seimbang

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Pusat Zakat Sabah (PZS) menyalurkan peruntukan zakat kepada golongan asnaf dengan telus.

Pengerusinya Datuk Suhaili Said berkata penyaluran zakat adalah kepada lapan golongan asnaf di negeri ini termasuk zakat fitrah, bantuan bulanan, bantuan pendidikan dan bantuan bencana.

Menurutnya PZS juga tidak dapat memenuhi 100 peratus permintaan orang ramai kerana pertimbangan diberi kepada golongan miskin dan benar-benar memerlukan sahaja.

Beliau menafikan isu birokrasi dan dakwaan pengagihan yang tidak seimbang berlaku dalam proses pemilihan penerima zakat.

Lebih teruk lagi, zakat fitrah dikatakan tidak sampai kepada golongan sasar seperti yang dilemparkan netizen menerusi media sosial sejak bulan Ramadan lalu.

Bagi menangani isu berkenaan, Suhaili menjelaskan pihaknya telah mengambil inisiatif dengan membangunkan satu modul pemberian zakat bulanan iaitu melalui latihan kemahiran agar dapat membantu golongan asnaf untuk berdikari.

“Latihan yang kita sediakan adalah kursus membuat kek dan gubahan bunga supaya golongan asnaf ini mampu berniaga serta berdikari meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, kelmarin.

Suhaili berkata kunjungan itu bertujuan memaklumkan perkembangan dan hal ehwal semasa MUIS kepada Juhar sebagai penaung badan itu.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada Juhar yang sentiasa memberi pandangan serta nasihat untuk memajukan lagi agama Islam di Sabah.

Advertisement