Anda di sini

Usahawan muda dipelawa sertai Cabaran Inovasi PKS

Advertisement
 Jacqueline Fong berkongsi rahsia kejayaannya bersama kira-kira 120 usahawan muda pada Persidangan Usahawan Muda semalam.

KONGSI KEJAYAAN: Jacqueline Fong berkongsi rahsia kejayaannya bersama kira-kira 120 usahawan muda pada Persidangan Usahawan Muda semalam.

Menyediakan pengetahuan dan peluang perniagaan

KUCHING: Usahawan muda di negeri ini dipelawa menyertai Cabaran Inovasi PKS (SME Inovation Challenge) 2016 anjuran Alliance Bank Berhad (Alliance Bank).

Naib Presiden Kanan SME Alliance Bank Christopher Yap berkata, pendaftaran untuk menyertai cabaran itu sudah pun bermula 29 Julai lalu dan berakhir 5 September depan.

Pendaftaran katanya, boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.BizSmart. com.my dan menghubungi 1300-80-3388 untuk sebarang pertanyaan.

Katanya, dengan menyertai cabaran itu usahawan muda akan memperoleh pengetahuan pada masa sama berpeluang mendapatkan peluang perniagaan.

“Bagi memulakan sesuatu perniagaan biasanya amat mencabar, kerana kadar kegagalan sangat tinggi iaitu sehingga 60-70 peratus terutama dalam tempoh tiga tahun pertama perniagaan mereka.

“Oleh sebab itu, kami memperkenalkan Akademi BizSmart (BizSmart Academy) untuk menyediakan landasan perniagaan terutama untuk usahawan muda mengetengahkan idea pada masa sama menyediakan peluang kepada mereka meningkatkan ilmu perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Usahawan Muda di sebuah hotel di sini semalam.

Jelasnya, usahawan menyertai program itu akan dinilai dan apabila berjaya mereka layak mengikuti latihan pemantapan selama dua bulan melibatkan sesi bimbingan perniagaan berstruktur dan menyertai ‘CEO Chatroom Series’.

“Hadiah Utama bagi Anugerah Keusahawanan Ecoworld ialah RM250,000. Tempat kedua RM200,000 dan ketiga RM150,000.

“Manakala bagi Anugerah Kategori, RM100,000 masing- masing untuk Anugerah ‘Sustainability’ Manulife dan Anugerah ‘Retail’ Visa sementara RM200,000 (pakej media) bagi Anugerah Pilihan Penonton HyppTV,” katanya.

Selain itu katanya, pemenang tiga teratas program tersebut dan pemenang Anugerah ‘Sustainability’ Manulife akan menerima Perlindungan Insurans Manulife RM180,000 selama lima tahun.

Sementara itu, tiga usahawan muda Sarawak yang berjaya serta finalis tahun lalu iaitu Pengasas Bersama Tanoti Jacqueline Fong, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shine Pharmacy Charles Liew dan Pengasas Bersama Earthless Coffee Workshop Rave Sun Kwok berkongsi rahsia kejayaan mereka bersama kirakira 120 usahawan muda menyertai persidangan itu semalam.

 

Advertisement