Anda di sini

Jabatan Perhutanan tubuh pasukan TrusSAR

Advertisement

KENINGAU: Jabatan Perhutanan Sabah akan menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat Gunung Trus Madi (TrusSAR) sebaik sahaja perbincangan dicapai selepas simulasi SAR di Gunung Trus Madi.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Rahim Sulaiman berkata pasukan SAR perlu bersedia lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku apabila ada yang mendaki Gunung Trus Madi.

“Pasukan itu lebih tertumpu kepada sebarang kejadian gempa bumi dan tanah runtuh selain kemalangan kecil,” katanya pada kursus SAR Gunung Trus Madi yang diadakan di Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini, Rabu lalu.

Katanya, kursus dan latihan selama lima hari bermula pada 31 Julai itu dan berakhir kelmarin, dianjurkan Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan disertai seramai 37 orang terdiri pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Keningau dan Tambunan, penduduk tempatan serta pengusaha pelancongan.

Rahim berkata, latihan itu dibuat berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diluluskan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sabah.

Katanya, penyediaan jawatankuasa SOP SAR untuk Gunung Trus Madi melibatkan semua agensi penyelamat termasuk Jabatan Kesihatan, Polis, Majlis Daerah, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan jabatan lain yang berkaitan.

Menurut beliau, mesyuarat itu diadakan dua kali tahun lepas berikutan tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu yang mengakibatkan kehilangan nyawa, dan kesan insiden itu adalah punca utama dan pemangkin dalam penyediaan SOP SAR untuk Gunung Trus Madi.

“Dalam mereka bentuk dan menyediakan SOP ini, Jabatan Perhutanan Sabah telah melibatkan penyertaan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang lain pada awal Jun tahun lepas dan hasil daripada percambahan fikiran yang disertai oleh ahli jawatankuasa itu dalam dua mesyuarat pada Jun dan Ogos tahun lepas bersetuju bahawa bencana perlu ditangani oleh pasukan SAR di bawah pengurusan jabatan ini di Trus Madi, yang melibatkan kejadian tanah runtuh dan gempa bumi.

“Mencari dan menyelamat hanya terpakai bagi Unit Pengurusan Hutan 10 (FMU10) terutama untuk Gunung Trus Madi yang diolah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Rahim berkata, tumpuan akan diberi kepada tiga laluan lokasi utama iaitu Kaingaran Tambunan, Apin-Apin Keningau dan Sinua Sook, Keningau.

Katanya, usaha penyelamat telah diluluskan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah yang juga sebagai ketua operasi SAR.

Jabatan Perhutanan Sabah sebelum ini telah melatih 54 penduduk tempatan sebagai malim Gunung Trus Madi dan daripada jumlah itu, hanya 30 orang yang masih aktif.

Pada masa yang sama, beliau berkata empat pengusaha pelancongan berdaftar dengan jabatan itu untuk menjalankan urusan pergerakan pelancong yang ingin membuat pendakian Gunung Trus Madi.

“Hari ini (kelmarin), peserta akan menjalankan simulasi SAR di Gunung Trus Madi,” katanya.

Beliau berkata para peserta akan menjalankan simulasi SAR di bawah kendalian oleh pegawai-pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau dan Tambunan.

Rahim juga berkata selepas simulasi SAR di Gunung Trus Madi, akan diadakan perbincangan mengenai penubuhan pasukan TrusSAR sebelum majlis penutup kursus yang diadakan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau.

Katanya, sepanjang kursus, para peserta telah didedahkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perhutanan Sabah dan pegawai perancangan FMU10 dengan taklimat latihan, pengenalan SAR, SOP berkaitan SAR, pengenalan SOP SAR Gunung Trus Madi, Sistem Pengurusan Insiden (IMS), Sistem Arahan Insiden (ICS), Pelan Komunikasi, SOP bekerja dengan helikopter, Pengurusan mangsa, dan tali penyelamat (teori dan praktikal).

Beliau berkata, peserta turut diberikan taklimat ringkas mengenai keanggotaan Sukarelawan Bomba (cadangan MoU), Persatuan Jabatan Bomba dan Malim Trus Madi dan taklimat simulasi.

Advertisement