Anda di sini

ESSCom gempur setinggan, 18 PATI ditahan

Advertisement

KUNAK: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas 23 bot pam serta 36 enjin kerana pelbagai kesalahan dalam dua serbuan serentak di perkampungan setinggan atas air awal pagi kelmarin.

Dua perkampungan setinggan yang digempur serentak dalam operasi itu ialah Kampung Air Kunak 3 dan Kampung Pangkalan Kunak.

Komander ESSCom DCP Datuk Wan Abdul Wan Bari Abdul Khalid berkata, operasi yang bermula jam 6 pagi itu menyasarkan perkampungan atas air yang disyaki menjadi tempat persembunyian PATI.

Beliau berkata, dalam kedua-dua operasi itu, pihaknya memeriksa 358 orang dan menahan 18 warga asing serta 66 suku kaum Bajau Palauh kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Kesemua yang ditahan adalah warga Filipina berumur lingkungan 20-52 tahun. Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka kini ditahan di pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata dalam usaha mengurangkan kebanjiran PATI di negeri ini khususnya di pantai timur Sabah, semua pihak terutamanya pemimpin masyarakat perlu berganding bahu dan bekerjasama sepenuhnya dengan pasukan keselamatan.

Ia boleh dilakukan dengan melaporkan kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan segera.

“ESSCom akan mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membendung dan membanteras kemasukan PATI yang menggunakan jalan laut untuk memasuki negara ini secara haram,” katanya.

Abdul Bari turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terbabit dalam operasi berkenaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Majlis Daerah.

Dalam pada itu, beliau turut memberi menasihatkan pengusaha bot tunda dan pengusaha perikanan laut dalam supaya menyediakan pelan kecemasan atau keselamatan bot masing-masing.

“Sekiranya mengesan ada individu mencurigakan menghampiri bot anda, lapor terus kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCom untuk tindakan penguatkuasaan dan pemintasan,” katanya.

Advertisement