Anda di sini

Premis perniagaan perlu patuhi SOP untuk kekalkan anugerah

Advertisement
 Hamzah (kanan) mendengar penerangan daripada seorang pelanggan tentang harga barangan kawalan di pasaran ketika membuat lawatan di Pasar Raya Giant, Kuala Terengganu semalam. Turut hadir Pengarah Operasi dan Rantaian Bekalan GCH Retail )M) Sdn Bhd, Joe Dybell (dua kiri). — Gambar Bernama

PENERANGAN: Hamzah (kanan) mendengar penerangan daripada seorang pelanggan tentang harga barangan kawalan di pasaran ketika membuat lawatan di Pasar Raya Giant, Kuala Terengganu semalam. Turut hadir Pengarah Operasi dan Rantaian Bekalan GCH Retail )M) Sdn Bhd, Joe Dybell (dua kiri). — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Premis perniagaan yang menerima Anugerah Kedai Harga Patut 2016 perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP)yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ia sebagai syarat anugerah itu dikekalkan dan penerima tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana anggota kementerian akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kriteria yang ditetapkan dipatuhi premis terbabit.

“Anugerah Kedai Harga Patut ini bukan bermakna kita akan beri sampai bila-bila kerana kita sentiasa pantau harga yang mereka pamerkan, kalau kita rasa harga itu sudah tidak berpatutan, kita akan tarik balik dan keluarkan pengumuman di media supaya rakyat dapat mengetahuinya.

“Sebab itu, bila kita dah bagi (iktiraf anugerah), premis perniagaan ini perlu mematuhi semua kriteria yang ditetapkan untuk mereka layak mengekalkan anugerah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut 2016 kepada Giant Hypermarket yang diterima oleh Pengarah Operasi dan Rantaian Bekalan GCH Retail (M) Sdn Bhd, Joe Dybell di sini semalam.

Anugerah itu adalah pengiktirafan sulung kerajaan kepada sektor pasar raya besar kerana kategori itu baharu diperkenalkan tahun ini dan Giant Hypermarket seluruh negara layak menerima anugerah itu.

Sebanyak 1,238 premis perniagaan di seluruh negara telah dikenal pasti layak menerima anugerah itu yang dibahagikan kepada lapan kategori iaitu kedai runcit, pasar mini, pasar raya, pasar raya besar, kedai makan dan restoran, gerai makan, kedai alat tulis dan buku serta kedai pakaian.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata pemantauan tidak hanya difokuskan kepada pasar raya besar, sebaliknya ia dilakukan terhadap semua premis perniagaan.

“Selain pemantauan berterusan, kita juga mahu lebih banyak premis perniagaan ini disenaraikan sebagai kedai harga patut dan untuk itu, peniaga perlulah memastikan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna memenuhi kehendak dan keperluan mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement