Anda di sini

Potensi cerah perniagaan pembiayaan peralatan untuk PKS di Sarawak: Yap

Advertisement
 Yap (kiri) dan Tong selepas makan tengah hari bersama media semalam.

MANTAP: Yap (kiri) dan Tong selepas makan tengah hari bersama media semalam.

KUCHING: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mahu meningkatkan perniagaan menerusi program pembiayaan peralatan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Sarawak.

Naib Presiden Kanan Alliance Bank SME Christopher Yap mendedahkan kumpulan perbankan itu melihat potensi yang cerah dalam perniagaan pembiayaan peralatan di negeri ini berikutan permintaan tinggi dalam segmen itu di kalangan PKS.

“Kami mahu menerokai perniagaan pembiayaan peralatan di Sarawak…Tahun lepas (2014) perniagaan kita berkembang dengan pantas sekali dan salah satu segmen ialah pembiayaan peralatan.

“ Justeru kami mahukan peningkatan yang tinggi terutamanya pertumbuhan dua angka tahun ini,” katanya ketika makan tengah hari bersama media di sebuah hotel di sini semalam.

Yap menambah Alliance Bank juga mahu menyediakan pinjaman modal kerja serta kemudahan kredit yang lain bagi membantu PKS khasnya di Sarawak.

“Kami menyediakan penyelesaian kepada PKS dan membantu mereka berkembang maju,” katanya.

Beliau turut memberitahu selain penyediaan perkhidmatan pembiayaan peralatan, Alliance Bank juga menyediakan kemudahan pembiayaan peralatan perubatan dan pembiayaan projek-projek tenaga diperbaharui di seluruh negara.

Yap juga mendedahkan kumpulan perbankan itu ketika ini mempunyai lebih 100,000 pelanggan dalam kalangan PKS di seluruh negara dan daripada jumlah itu 12-13 peratus adalah dari Sarawak.

Ketika ini Alliance Bank mempunyai lima cawangan di seluruh Sarawak iaitu dua di Kuching dan satu masing-masingnya di Sibu, Bintulu dan Miri.

Ditanya sama ada kumpulan perbankan itu akan menambah cawangan di Sarawak, beliau berkata ia bergantung kepada statistik dalam aspek pertumbuhan industri serta permintaan terhadap perkhidmatan perbankan di negeri ini.

Tambahnya dalam aspek pelanggan industri kumpulan perbankan itu ia adalah bercampur-campur dan pelbagai bermula dari makanan dan minuman (F&B), perkilangan, fesyen dan pertanian.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan pembiayaan untuk pekebun kecil kelapa sawit di Sabah bagi membantu mereka dalam perniagaan.

“Program-program yang kita sediakan ialah pembiayaan untuk menanam kelapa sawit, penanaman semula dan pinjaman bagi memberi baja. Semua ini bertujuan membantu pekebun kecil mengekalkan perniagaan,” jelasnya.

Hadir sama, Naib Presiden Pengurus Jualan Wilayah Alliance Bank Tony Tong dan Naib Presiden Komunikasi Kumpulan Alliance Bank Agnes Ong.

Advertisement